Khamis, 12 Mei 2022 | 11:50am
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia mahu membalas dendam kekalahan di tangan Lakshya Sen ketika kedua-dua pemain bertemu malam ini. - BERNAMA
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia mahu membalas dendam kekalahan di tangan Lakshya Sen ketika kedua-dua pemain bertemu malam ini. - BERNAMA

Peluang Zii Jia balas dendam

KUALA LUMPUR: Pertemuan Malaysia menentang India dalam aksi suku akhir Piala Thomas, malam ini di Bangkok, Thailand memberi peluang kepada jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melunaskan dendam ke atas Lakshya Sen.

Kedua-dua pemain dijangka membuat perhitungan apabila turun menggalas tugas selaku perseorangan pertama buat pasukan masing-masing.

Kali terakhir pertemuan antara mereka menyaksikan Zii Jia terpaksa akur gagal mempertahankan gelaran Seluruh England yang dimenangi tahun lalu apabila tewas kepada Lakshya di peringkat separuh akhir, Mac lalu.

Aksi kedua-dua pemain dalam perlawanan malam ini cukup penting bagi mencetuskan semangat buat rakan sepasukan dalam usaha mara ke separuh akhir.

Zii Jia yang juga pemain ranking nombor enam dunia menjangkan ia akan menjadi perlawanan yang sukar bertemu Lakshya apabila masing-masing turun dengan misi untuk menyumbang mata pertama kepada pasukan.

"Saya fikir semua pemain akan menampilan prestasi terbaik untuk berjuang demi negara. Begitu juga dengan Lakshya yang pastinya akan memberi yang terbaik," katanya.

Terdahulu, Malaysia mara ke suku akhir selaku juara Kumpulan D selepas kemenangan ke atas Jepun 3-2, awal pagi tadi.

Pemain badminton India, Lakshya Sen yang pernah menumpaskan Zii Jia di peringkat separuh akhir, Seluruh England, Mac lalu. - Foto Twitter
Pemain badminton India, Lakshya Sen yang pernah menumpaskan Zii Jia di peringkat separuh akhir, Seluruh England, Mac lalu. - Foto Twitter

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menang semua aksi peringkat kumpulan selepas turut menewaskan England dan Amerika Syarikat dalam dua perlawanan awal.

Jika berjaya mengatasi India, malam ini, skuad negara bakal bertemu pemenang perlawanan antara Denmark dengan Korea Selatan yang membuat perhitungan dalam satu lagi aksi peringkat suku akhir.

Dua lagi perlawanan suku akhir membabitkan pertemuan antara juara bertahan, Indonesia menentang China manakala Taiwan berdepan Jepun.

"Saya fikir semua lapan pasukan yang layak ke suku akhir mempunyai peluang yang sama rata pada kejohanan kali ini. Kalau kita tengok, ramai juga pemain utama yang mengalami kekalahan seperti Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia).

"Walapun Indonesia muncul juara tahun lalu tetapi kali ini mereka nampak kurang disebabkan ketiadaan Marcus Fernaldi Gideon (pemain beregu Indonesia). Hari ini (semalam) pun mereka diberi tentangan sengit oleh Korea.

"Jadi, semua pasukan ada peluang dan ia bergantung kepada prestasi pemain pada hari perlawanan," kata Zii Jia.

Berita Harian X