Khamis, 12 Mei 2022 | 8:13am
Aksi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia ketika menentang pemain Jepun, Kento Momota pada Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok. - BERNAMA
Aksi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia ketika menentang pemain Jepun, Kento Momota pada Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok. - BERNAMA

Malaysia jumpa India suku akhir Piala Thomas

BANGKOK: Malaysia yang juga Juara Kumpulan D diundi bertemu India, Naib Juara Kumpulan C pada suku akhir Final Piala Thomas dalam undian yang berlangsung di sini hari ini.

Malaysia akan berhadapan Korea Selatan atau Denmark sekiranya layak ke separuh akhir.

Undian hari ini juga menyaksikan juara bertahan Indonesia bertemu China dalam pertembungan seperti ulangan final tahun lepas sementara Juara Kumpulan C, Taiwan akan menentang Jepun.

Mengulas mengenai undian ini, Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Dr Tim Jones berkata skuad negara tidak akan mengambil mudah cabaran dari India kerana mereka mempunyai barisan pemain yang mantap pada edisi tahun ini.

"Bagaimanapun, kami merasa yakin selepas berhadapan dengan Jepun dan kami sedia untuk bertemu dengan sesiapa pun pada waktu ini, ayuh, ke suku akihir," katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas sesi cabutan undian itu.

Aksi Kento Memota dari Jepun pada kejohanan Final Piala Thomas di Bangkok. - Foto EPA
Aksi Kento Memota dari Jepun pada kejohanan Final Piala Thomas di Bangkok. - Foto EPA

Tim juga gembira menyaksikan kemenangan Malaysia ke atas Juara 2014, Jepun terutamanya aksi hebat Lee Zii Jia menumpaskan Kento Momota yang beliau percaya akan melonjakkan keyakinan pemain itu menjelang perlawanan suku akhir menentang India.

Sementara itu, pemain perseorangan nombor satu negara, Zii Jia percaya perlawanan suku akhir kali ini adalah seimbang selepas beberapa pemain ternama seperti Kento dari Jepun dan wakil Indonesia Anthony Sinisuka Ginting bergelut dengan prestasi masing-masing ketika ini. - BERNAMA

Berita Harian X