Selasa, 26 April 2022 | 4:42pm
Zii Jia diletakkan sebagai pilihan kelima Kejohanan BAC di Manila.
Zii Jia diletakkan sebagai pilihan kelima Kejohanan BAC di Manila.

Indra optimis Zii Jia takluk Asia

KUALA LUMPUR: Jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya optimis anak didiknya, Lee Zii Jia berpeluang untuk menjuarai saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang berlangsung di Manila, Filipina yang bermula hari ini.

Pemain nombor tujuh dunia itu akan memulakan cabaran menentang Sun Fei Xiang dari China pada aksi pusingan pertama, esok.

Jika menang, dia yang diletakkan sebagai pilihan kelima akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain Taiwan, Lee Chun Yi dengan Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia di pusingan kedua sebelum diramal bertemu pemain Jepun, Kenta Tsuneyama jika melangkah ke suku akhir.

Pemain utama Indonesia yang juga pilihan kedua kejohanan, Anthony Sinisuka Ginting dijangka menjadi lawan Zii Jia jika berjaya mara ke separuh akhir.

Indra yang dipilih Zii Jia untuk membimbingnya selepas memutuskan untuk bergerak secara profesional, Januari lalu berkata biarpun pemain itu berdepan laluan mencabar namun bukan sesuatu yang mustahil dia mampu muncul juara sekiranya mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan.

"Setakat ini, persiapan semua berjalan dengan lancar, saya harap dia boleh dapatkan permainan terbaiknya dalam saingan BAC kali ini. Sebagai jurulatih saya mahu melihat dia bermain pada tahap terbaiknya secara konsisten.

"Jika dia boleh melakukannya, saya percaya bukan sesuatu yang mustahil untuk dia muncul juara," kata Indra kepada BH Sukan.

Pencapaian terbaik Zii Jia dalam saingan musim ini adalah mara ke separuh akhir Terbuka Jerman dan Seluruh England, Mac lalu.

Sebelum itu, juara Seluruh England 2021 berkenaan membantu skuad negara muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, Februari lalu.

Selain Zii Jia, empat lagi pemain perseorangan lelaki negara turut akan beraksi dalam saingan BAC kali ini iaitu Liew Daren, Ng Tze Yong dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Daren akan membuka tirai kempen menentang pemain Korea Selatan, Heo Kwanghee; Tze Yong bertemu K Srikanth dari India manakala Aidil diundi berdepan Wang Tzu Wei dari Taiwan.

Berita Harian X