Sabtu, 23 April 2022 | 6:30pm
Beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto ihsan FB BAM.
Beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto ihsan FB BAM.

Dua beregu Indonesia gusarkan Kai Wun-Wei Chong

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong menganggap dua gandngan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan dan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin mampu menjadi pemusnah terhadap misi mereka memenangi emas Sukan SEA Hanoi, bulan depan.

Kai Wun, 22, berkata dia menjangkakan persaingan sengit antara mereka bagi merebut emas di temasya dwitahunan itu.

"Memang sasaran kami adalah untuk memenangi emas pada Sukan SEA kali ini. Namun, kami tidak boleh terlalu ghairah kerana sedar persaingan daripada beregu negara lain terutamanya dua pasangan Indonesia (Pramudya -Yeremia dan Carnando-Daniel) yang mampu menggugat usaha kami.

"Jadi, kami perlu berwaspada dengan dua pasangan Indonesia itu. Lagipun, sejak kebekalangan ini mereka menunjukkan prestasi yang agak konsisten," Kai Wun yang muncul juara saingan Antarabangsa Syed Modi di India bersama Wei Chong, Januari lalu.

Pasangan negara yang berada di ranking ke-44 dunia itu turun dengan misi untuk mempertahankan emas yang dimenangi Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara beregu lelaki pada edisi 2019 di Manila, Filipina selepas menewaskan beregu berpengalaman Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit dalam aksi final.

Selain Aaron-Wooi Yik, skuad badminton negara turut membawa pulang dua lagi emas dari Manila menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan perseorangan wanita, S Kisona.

Bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kali ini hanya meletakkan sasaran satu emas selepas menyenaraikan barisan pemain muda di Hanoi dengan Kai Wun-Wei Chong antara sandaran bagi menetapi sasaran berkenaan selain dua beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei

Berita Harian X