Sabtu, 16 April 2022 | 3:21pm
Pemain perseorangan lelaki profesional, Soong Joo Ven. - Foto ihsan FB BAM
Pemain perseorangan lelaki profesional, Soong Joo Ven. - Foto ihsan FB BAM

Cabaran negara di Masters Korea berakhir

KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia di Masters Korea berakhir selepas dua wakil negara yang beraksi di separuh akhir tewas di tangan lawan masing-masing, hari ini.

Pemain perseorangan lelaki profesional, Soong Joo Ven gagal mengekalkan momentumnya apabila terpaksa akur tewas di tangan Kodai Naraoka dari Jepun 17-21, 23-21, 11-21 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Gwangju Yeonju.

Bagaimanapun, Joo Ven yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) secara keseluruhannya berpuas hati dengan pencapaian dilakarnya pada Masters Korea kali ini apabila menang ke atas lawan yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi dalam laluan ke separuh akhir.

"Kecuali pusingan pertama, lawan saya yang lain semuanya di kedudukan ranking yang lebih baik berbanding saya.

"Sebenarnya, lawan di pusingan pertama pun bermain dengan bagus dan tidak mudah untuk saya saya mencatatkan kemenangan. Jadi, keseluruhannya saya gembira dengan prestasi saya di sini," katanya yang menghuni ranking ke-68 dunia.

Kemenangan menyaksikan Naraoka akan membuat perhitungan dengan pemain tuan rumah, Jeon Hyeok Jin yang mara ke final selepas menundukkan Sitthikom Thammasin dari Thailand 21-18, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, nasib sama turut dialami beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tersingkir di separuh akhir selepas tewas di tangan pasangan China, Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong 11-21, 15-21.

"Terlalu banyak kesilapan yang saya lakukan dalam perlawanan hari ini, saya tidak dapat mengekalkan fokus saya di dalam gelanggang.

"Disebabkan itu, tahap keyakinan kami menurun dan saya tidak jelas terhadap apa yang saya perlu lakukan di dalam gelanggang," kata Shevon.

Soon Huat-Shevon akan mengalihkan fokus mereka bagi mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Bangkok, yang akan bermula 26 April hingga 1 Mei.

Berita Harian X