X
Jumaat, 8 April 2022 | 5:13pm
Aksi Jin Wei ketika menentang Kim Gaeun di suku akhir Terbuka Korea hari ini.
Aksi Jin Wei ketika menentang Kim Gaeun di suku akhir Terbuka Korea hari ini.

Jin Wei terkandas di suku akhir

KUALA LUMPUR: Hajat pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei untuk melangkah lebih jauh dalam kemunculan semulanya selepas persaraan tidak kesampaian apabila terkandas di suku akhir badminton Terbuka Korea, sebentar tadi.

Jin Wei yang mengumumkan persaraan pada September tahun lalu sebelum membuat pusingan U tiga bulan kemudian, tewas di tangan pemain tuan rumah, Kim Gaeun 15-21, 18-21 dalam tempoh 35 minit.

Keputusan itu menghentikan langkah bekas juara dunia remaja dua kali pada 2015 dan 2018 itu, untuk kembali berada di pentas lebih tinggi selepas kali terakhir berada di final Antarabangsa Sepanyol pada Jun tahun lalu.

Pada ketika itu, Jin Wei tewas di tangan lawan senegara, S Kisona 14-21, 19-21.

Kekalahan di tangan Gaeun itu adalah yang kedua dalam tiga pertemuan antara mereka dengan kali terakhir atlet dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkenaan menundukkan Gaeun di Terbuka Jerman 2019, 10-21, 21-12, 23-21.

Dalam pada itu, beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melangkah ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan pasangan China, Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong 21-18, 21-17.

Pilihan kedua kejohanan itu dijadual bertemu pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari yang menewaskan lawan mereka di suku akhir dari Jepun, Horoki Modorikawa-Natsu Saito 15-21, 21-18, 21-16.

Langkah itu bagaimanapun gagal diikuti satu lagi beregu campuran profesional negara, Ong Yew Sin-Goh Liu Ying apabila tunduk kepada pasangan tuan rumah Kim Wonho-Jeong Na Eun 14-21, 23-21, 16-21 dalam tempoh 1 jam 2 minit.

Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong turut terkandas apabila tewas kepada pemain China, Weng Hong Yang 11-21, 12-21 dalam tempoh 39 minit.

Berita Harian X