Ahad, 3 April 2022 | 8:11pm
Aksi beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada saingan Seluruh England bulan lalu. - Foto ihsan FB BAM.
Aksi beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada saingan Seluruh England bulan lalu. - Foto ihsan FB BAM.

'Paling penting, kita juara Piala Thomas'

KUALA LUMPUR: "Jadi juara kumpulan tidak penting, paling penting juara Piala Thomas."

Itu reaksi pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia ketika ditanya mengenai persaingan dengan Jepun bagi merebut gelaran juara Kumpulan D pada saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, bermula 8 hingga 15 Mei ini.

Selain Jepun, Malaysia turut akan berdepan England dan New Zealand bagi memburu tiket ke suku akhir kejohanan berpasukan itu.

Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik, berkata misi awal skuad lelaki negara adalah memastikan pasukan mengakhiri saingan kumpulan di kedudukan kedua teratas tidak kira selaku juara atau naib juara kumpulan bagi mara ke kelompok lapan terbaik.

"Atas kertas, memang kami ada peluang untuk untuk layak ke suku akhir. Namun, kami tidak boleh terlalu memikirkan mengenai perkara itu kerana yang paling penting kami buat yang terbaik tidak kira menentang pasukan mana sekalipun.

"Bagi saya, jadi juara atau naib juara kumpulan pun sama saja. Walaupun menjadi juara kumpulan akan meletakkan kami sebagai pilihan pada undian suku akhir, namun semua dua pasukan teratas dalam kumpulan lain yang turut layak adalah kuat.

"Sebab itu, saya katakan jadi juara kumpulan tidak penting, paling penting kena jadi juara Piala Thomas," katanya.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi final.

Bagi Aaron, peluang untuk Malaysia kembali menjulang trofi berprestij berkenaan sentiasa terbuka namun menuntut komitmen tinggi seluruh pasukan bagi merealisasikannya.

"Kami anggap ini satu cabaran buat kami, saya sedar ia bukan tugas mudah. Namun, adalah menjadi impian setiap pemain untuk menjuarai Piala Thomas.

"Sudah pasti kami akan buat yang terbaik dan berharap dapat membawa Piala Thomas kembali ke Malaysia," katanya.

Berita Harian X