Rabu, 30 March 2022 | 6:14pm
Beregu campuran negara, Tan Kian Meng- Lai Pei Jing dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto ihsan FB BAM.
Beregu campuran negara, Tan Kian Meng- Lai Pei Jing dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto ihsan FB BAM.

Pei Jing kini fokus Terbuka, Masters Korea

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing mahu melupakan kekecewaan di separuh akhir Terbuka Switzerland, Sabtu lalu dengan memberi tumpuan kepada dua kejohanan yang dijadual berlangsung di Korea Selatan bermula 5 April ini.

Pei Jing yang bergandingan dengan Tan Kian Meng dijadual menyertai dua kejohanan di Korea Selatan iaitu Terbuka Korea dari 5 hingga 10 April sebelum memasuki gelanggang Masters Korea dari 12 hingga 17 April.

"Kami akan ke Korea Selatan minggu depan untuk meneruskan perjuangan kami. Jadi tidak ada masa untuk saya hilang keyakinan. Saya harus bangkit dengan pantas dan memulakan perjalanan yang baharu," kata Pei Jing.

Pada pembuka tirai kejohanan musim 2022 di Terbuka India, Kian Meng-Pei Jing berjaya mara ke pusingan separuh akhir sebelum tewas di tangan rakan senegara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 19-21, 23-21, 14-21.

Mereka kemudian menyertai tiga kejohanan berturut-turut di Eropah, bermula dengan Terbuka Jerman namun terkandas di suku akhir di tangan beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 11-21, 18-21.

Selang tiga hari kemudian, mereka menyertai Seluruh England di Birmingham namun turut menerima kekalahan di peringkat sama, kali ini ditundukkan pasangan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 15-21, 15-21.

Seterusnya mereka menyertai Terbuka Switzerland minggu lalu namun nasib menyebelahi rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai di separuh akhir yang menewaskan mereka 17-21, 24-22.

"Tiga kejohanan berturut-turut di Eropah dengan dua suku akhir dan satu di separuh akhir. Ia seperti sudah semakin hampir namun masih jauh. Saya amat merindui peluang untuk berada di podium walaupun saya sudah bermain yang terbaik," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Kian Meng-Pei Jing mara ke pentas final adalah di Terbuka Singapura 2019 namun pada kali itu tewas di tangan Puavaranukroh-Taerattanachai 14-21, 6-21.

Berita Harian X