Isnin, 28 March 2022 | 12:39pm
Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ceria meraikan kejayaan sebagai naib juara Terbuka Switzerland semalam selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada aksi final di Basel, Switzerland. - Foto ihsan FB BAM.
Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ceria meraikan kejayaan sebagai naib juara Terbuka Switzerland semalam selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada aksi final di Basel, Switzerland. - Foto ihsan FB BAM.

Kekalahan jadi azimat buat Tze Fei-Izzuddin terus bangkit

KUALA LUMPUR: Tewas bukan penghalang segala-galanya untuk terus melakar kejayaan dan itulah semangat ditonjolkan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada aksi final Terbuka Switzerland, semalam.

Walaupun sudah memberikan yang terbaik, Tze Fei-Izzuddin terpaksa akur dengan kekuatan lawan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menewaskan mereka 18-21, 19-21 di pentas final dalam tempoh 40 minit.

Begitupun bagi Sze Fei, kekalahan berkenaan boleh dikatakan sebagai pentas pembelajaran buat mereka untuk terus bangkit dan memburu lebih banyak kejayaan di masa depan.

"Kami akan lebih berusaha dan terus belajar sehingga mendapat rentak yang betul," kata Tze Fei yang berusia 24 tahun dari Melaka itu. "Terima kasih kepada mereka yang sanggup berjaga malam untuk memberi sokongan kepada kami."

Pertemuan antara Tze Fei-Izzuddin dan Fajar-Rian itu adalah yang kelima antara mereka dan kekalahan menyaksikan beregu Indonesia itu kini melebarkan sayap kemenangan mereka kepada 4-1.

Kali pertama Tze Fei-Izzuddin meraih kemenangan ke atas Fajar-Rian adalah di suku akhir Terbuka Denmark 2021 dengan ketika itu menewaskan lawan mereka, 21-18, 21-17.

Dalam pada itu, rakan gandingannya, Izzuddin berkata, mereka tetap bersyukur dengan keputusan itu walaupun terlepas peluang untuk meraih gelaran kedua musim ini selepas menjuarai Terbuka Jerman yang berlangsung pada 8 hingga 13 Mac lalu.

"Syukur alhamdulillah, terima kasih ya Allah," tulis Izzuddin dalam satu hantaran di Instagram. "Percaya ada hikmah dalam setiap yang dijadikan. Berkat doa mak ayah dan keluarga, saya sampai ke tahap ini. Terima kasih kepada semua yang menyokong kami."

Berita Harian X