Ahad, 27 March 2022 | 10:25pm
Aksi Soon Huat-Shevon pada aksi final Terbuka Switzerland.
Aksi Soon Huat-Shevon pada aksi final Terbuka Switzerland.

Soon Huat-Shevon 'berputih mata'

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai 'berputih mata' untuk menamatkan penantian gelaran apabila tewas di pentas final Terbuka Switzerland yang berlangsung di Basel, sebentar tadi.

Soon Huat-Shevon yang kali terakhir meraih gelaran di Terbuka Singapura 2018, memulakan aksi final dengan positif apabila mencatat kemenangan 21-12 ke atas pasangan dari Jerman Mark Lamsfuss-Marvin Seidel namun tidak berjaya mengekalkan momentum berkenaan pada set kedua yang dimenangi lawan, 21-18.

Kedua-dua beregu saling bertukar mata pada set penentuan namun kemenangan memihak kepada Lamsfuss-Seidel dengan keputusan 21-17 sekali gus membolehkan pasangan yang menduduki ranking ke-15 dunia itu meraih kemenangan pertama dalam lima pertemuan antara mereka sebelum ini.

Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking ke-13 dunia dijadual menyertai dua kejohanan di Korea Selatan iaitu Terbuka Korea dari 5 hingga 10 April ini dan Korea Masters di Gwangju, dua hari selepas itu.

Sebelum ini, Soon Huat-Shevon memulakan kempen 2022 dengan langkah kiri apabila terkandas seawal pusingan pertama di Terbuka Jerman apabila tewas di tangan beregu England, Callum Hemming-Jessica Pugh 21-14, 13-21, 12-21.

Soon Huat-Shevon kemudian dihimpit kekalahan di peringkat sama di tangan beregu Denmark, Mathias Thyrri-Amalie Magelund 18-21, 16-21 di Seluruh England, baru-baru ini sebelum menunjukkan kebangkitan di Terbuka Switzerland.

Berita Harian X