Ahad, 27 March 2022 | 10:24am
Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Kejohanan Terbuka Switzerland 2022 di Basel. - Foto ihsan BWF
Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Kejohanan Terbuka Switzerland 2022 di Basel. - Foto ihsan BWF

Sze Fei-Nur Izzuddin ke final Terbuka Switzerland

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Kejohanan Terbuka Switzerland 2022 di Basel.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di St Jakobshalle awal pagi tadi, Sze Fei-Nur Izzuddin membenam beregu Indonesia Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yakob Rambitan 21-18, 21-18.

Di set pertama, bekas juara Kejohanan Terbuka Jerman 2022 itu diikat lebih awal dengan mata 6-6 oleh beregu Indonesia sebelum Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya mendominasi perlawanan dengan mencatat kemenangan 21-18.

Kedua-dua pasangan saling mengejar mata sehingga terikat 14-14 sebelum pasangan beregu negara yang menjadi pilihan kelapan kejohanan melengkapkan kemenangan bersih 21-18 di set kedua.

Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual bertemu beregu pilihan keempat kejohanan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia di pentas akhir yang akan berlangsung 11 pagi waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia) hari ini.

Sementara itu, pasangan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut beraksi di perlawanan akhir dan akan membuat perhitungan bersama pasangan Mark Lamsfuss-Isabel Lohau dari Jerman. - BERNAMA

Berita Harian X