Jumaat, 25 March 2022 | 9:12pm
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Mohd Sazili Shahibi (dua dari kiri) bersama Legenda Badminton Perseorangan Negara Datuk Rashid Sidek dan Dekan Fakulti Pendidikan UiTM Prof Madya TS Dr Sharipah Ruzaina Syed Aris (kiri) pada Majlis Pelancaran "Berjiwa Juara, Memori 92" di Hotel UiTM Kampus Puncak Alam hari ini. - BERNAMA
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Mohd Sazili Shahibi (dua dari kiri) bersama Legenda Badminton Perseorangan Negara Datuk Rashid Sidek dan Dekan Fakulti Pendidikan UiTM Prof Madya TS Dr Sharipah Ruzaina Syed Aris (kiri) pada Majlis Pelancaran "Berjiwa Juara, Memori 92" di Hotel UiTM Kampus Puncak Alam hari ini. - BERNAMA

Rashid kongsi ilmu asas kejurulatihan badminton

SHAH ALAM: Kira-kira 50 pelajar Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berpeluang menyertai Modul Asas Kejurulatihan Badminton bersama lagenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek menerusi kerjasama universiti itu dengan Kelab Badminton RS.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Profesor Mohd Sazili Shahibi berkata modul berkenaan akan menjadi sebahagian daripada kursus pengajian pelajar jurusan pendidikan sukan dan jasmani universiti itu.

Katanya, ia selaras dengan usaha mempertingkatkan serta memperkukuhkan elemen pengajaran sukan selaras modul asas kejurulatihan sebagai sebahagian dari kursus pengajian mereka.

"Menerusi modul berkenaan, elemen ilmu kesukanan badminton secara praktiknya dapat diterjemahkan.

"Seterusnya, kita akan mampu lahirkan graduan pendidikan yang dapat melatih pelajar sekolah dalam badminton secara lebih berkesan," katanya pada sidang media selepas Majlis Berjiwa Juara, Memori '92 di Hotel UiTM, Kampus Puncak Alam di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan turut dilancarkan model asas kejurulatihan badminton, pelancaran Doesata Games dan pelantikan Rashid sebagai Duta 'Doesata by Madu Tujuh'.

Mengulas lanjut, Mohd Sazili berkata pelajar jurusan itu akan diajar dari asas sehingga ke peringkat lanjutan dengan modul yang turut boleh dilengkapi video yang boleh diakses pelajar sekolah untuk mengikuti sesi latihan dilaksanakan para pendidik sukan badminton dari UiTM.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan modul itu dijadikan sebagai silibus pembelajaran di fakulti pendidikan pada masa depan.

"Kita lihat dahulu maklum balas terhadap modul ini dan saya rasakan untuk ketika ini ia sesuai dilaksanakan sebagai modul.

"Selepas melihat keberkesannya, kita akan lanjutkan kepada sumber bangunkan kurikulum sukan dan kejurulatihan dalam fokus bidang badminton," katanya.

Sementara itu, Rashid memaklumkan beliau terbuka untuk berkongsi ilmu dengan generasi baharu.

"Saya sentiasa terbuka dan ingin berkongsi ilmu dengan generasi muda. "Ini termasuk mendapatkan input pengalaman dan kemahiran saya," katanya.

Berita Harian X