Rabu, 23 March 2022 | 10:18pm
Tze Yong mara ke pusingan kedua Terbuka Switzerland.
Tze Yong mara ke pusingan kedua Terbuka Switzerland.

Peluang Tze Yong balas dendam ke atas Jonatan

KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Ng Tze Yong berpeluang melunaskan dendam ke atas pemain nombor lapan dunia dari Indonesia, Jonatan Christie apabila kedua-dua pemain membuat perhitungan dalam aksi pusingan kedua Terbuka Switzerland, esok.

Terdahulu, pemain perseorangan lelaki negara itu tidak berdepan masalah untuk mara ke kelompok 16 terbaik selepas menewaskan Fabian Roth dari Jerman 21-16, 21-15 dalam aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Basel.

Jonatan pula mengesahkan tiket selepas menundukkan Thomas Rauxel dari Perancis 21-10, 21-15.

Sebagai rekod, Tze Yong berjaya memberi tentangan sengit kepada Jonatan dalam pertemuan mereka di Piala Thomas 2021 di Denmark, Oktober tahun lalu sebelum terpaksa akur tewas 21-14, 19-21, 16-21.

Sementara itu, perseorangan wanita negara, S Kisona turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengetepikan cabaran pemain tuan rumah, Nadia Fankhauser 21-13, 21-11 dan akan bertemu pemenang perlawanan antara Saina Nehwal dari India dengan Yaelle Hoyaux dari Perancis esok.

Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang menjuarai Terbuka Jerman dua minggu lalu menepati ramalan apabila mara ke kelompok 16 terbaik selepas menewaskan pasangan Denmark, Emil Lauritzen-Mads Vestergaard 21-9, 21-13.

Pasangan ranking ke-18 dunia itu akan berdepan satu lagi pasangan Denmark, Jeppe Bay-Lasse Molhede bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Dalam pada itu, beregu wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing mengejutkan pilihan keempat dari Denmark, Maiken Fruergaard-Sara Thygesen 19-21, 21-11, 21-11 sekali gus menempah pertemuan dengan Debora Jille-Cheryl Seinen dari Belanda.

"Kami sangat gembira dan seakan tidak percaya memenangi perlawanan ini kerana ranking kami sangat jauh berbanding mereka (16 dunia).

"Kami lihat mereka sangat keletihan dan kami bertahan semaksimum yang mungkin. Mereka juga sedikit kelam-kabut dan akhirnya kami berjaya mencatat kemenangan.

"Selepas ini kami akan berdepan pasangan Belanda dan pernah mencatat kemenangan ke atas mereka dan harap kami lebih sabar untuk fokus mengutip mata demi mata," kata Mei Xing.

Berita Harian X