Rabu, 23 March 2022 | 5:17pm
Pang Ron-Yee See terpaksa tarik diri daripada Terbuka Switzerland selepas Yee See positif COVID-19.
Pang Ron-Yee See terpaksa tarik diri daripada Terbuka Switzerland selepas Yee See positif COVID-19.

Nasib malang Pang Ron-Yee See

KUALA LUMPUR: Nasib nyata tidak menyebelahi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See apabila terpaksa menarik diri daripada aksi Terbuka Switzerland yang bermula, semalam.

Ini kerana Yee See diuji positif COVID-19 dan sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada lawan mereka di pusingan pertama dari Indonesia, Rehan Kusharjanto-Lisa Kusmawati.

"Pang Ron-Yee See terpaksa menarik diri selepas Yee See diuji positif COVID-19," kata kenyataan ringkas dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sementara itu, dalam aksi pusingan pertama semalam, tiga beregu campuran negara berjaya mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Kempen beregu campuran negara di kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 itu dimulakan dengan cemerlang oleh pasangan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selepas menewaskan lawan dari India, MR Arjun-Tressa Jolly 21-15, 21-17.

Pilihan keenam kejohanan itu akan berdepan pasangan Denmark, Mathias Thyrri-Amelle Megalund bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Satu lagi pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mara apabila menumbangkan Dhruv Kapila-Gayatri Gopichand Pullela 21-18, 21-15 dan bertemu Adam Hall-Julie Macpherson dari Scotland di pusingan kedua.

Turut melangkah ke pusingan kedua ialah Chen Tang Jie-Peck Yen Wei apabila mereka berjaya bangkit selepas tewas set pertama untuk menyingkirkan satu lagi pasangan India, Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto 18-21, 22-20, 21-14.

Berita Harian X