Ahad, 20 March 2022 | 5:02pm
Aksi jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ketika menentang pemain India, Lakshya Sen pada aksi separuh badminton Seluruh England di Utilita Arena, Birmingham, tengah England, semalam. - Foto AFP
Aksi jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ketika menentang pemain India, Lakshya Sen pada aksi separuh badminton Seluruh England di Utilita Arena, Birmingham, tengah England, semalam. - Foto AFP

Zii Jia tekad bangkit, puas hati persembahan

KUALA LUMPUR: Kegagalan mempertahankan kejuaraan Seluruh England tidak sesekali mematahkan semangat juang jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang tekad bangkit dalam kejohanan seterusnya.

Pemain nombor tujuh dunia itu menjadi mangsa terbaru bintang meningkat dari India yang digelar 'pembunuh gergasi', Lakshya Sen apabila tewas 13-21, 21-12, 19-21 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung selama 76 minit di Utilita Arena Birmingham, malam tadi.

Bagi Zii Jia, 24, secara keseluruhan dia tetap berpuas hati dengan prestasinya sepanjang saingan Seluruh England apabila dapat mempamerkan permainan sebenar dirinya.

"Dari segi permainan saya dengan Lakshya Sen sebenarnya lebih kurang sama saja cuma dia lebih berani di akhir perlawanan berbanding saya yang membolehkan dia meraih dua mata terakhir.

"Saya tahu saya mampu melakukan yang baik lagi tetapi untuk setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi saya secara keseluruhannya. Walapun kalah, saya tetap bermain dengan permainan sebenar saya.

"Saya harap boleh dapat keputusan yang lebih baik apabila saya beraksi dalam kejohanan seterusnya selepas ini," kata Zii Jia yang memenangi gelaran Seluruh England pertamanya tahun lalu selepas menewaskan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 dalam aksi final.

Kemenangan Lakshya Sen ke atas Zii Jia bukanlah sesuatu yang mengejutkan selepas dia mempamerkan pretasi luar biasa sejak kebelakangan ini dengan menumbangkan beberapa pemain utama dunia termasuk Axelsen, Anders Antonsen (Denmark) dan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew.

Zii Jia yang kini bergerak secara profesional dan dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya akan mengalihkan fokusnya bagi melakukan persiapan menghadapi saingan Terbuka Korea yang bermula 5 hingga 10 April ini sebelum dijangka mengetuai cabaran skuad negara beraksi di Piala Thomas yang berlangsung di Bangkok, pada 8 hingga 15 Mei.

Berita Harian X