Ahad, 13 March 2022 | 6:59pm
Pemain badminton profperseorangan negara, Lee Zii Jia. - Foto NSTP/Aswadi Alias.
Pemain badminton profperseorangan negara, Lee Zii Jia. - Foto NSTP/Aswadi Alias.

Zii Jia kini tumpu pertahan gelaran Seluruh England

KUALA LUMPUR: Langkah pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terhenti di separuh akhir Terbuka Jerman, kelmarin namun ia bukanlah penamat buat dirinya untuk mempamerkan prestasi sebenar.

Bagi jurulatihnya, Indra Wijaya, Zii Jia yang berada di ranking ketujuh dunia itu sudah menunjukkan aksi terbaik di kejohanan berkenaan dengan misi seterusnya kini beralih kepada Seluruh England - pentas buat pemain berusia 24 tahun mempertahankan gelaran.

"Jujurnya, satu permulaan yang cukup baik buat Zii Jia di sepanjang kejohanan Terbuka Jerman ini walaupun tewas di separuh akhir," kata Indra. "Pemain lawan bermain dengan lebih baik.

"Dengan corak permainan ditampilkan Zii Jia ketika ini, saya harap dia boleh bermain lebih baik pada kejohanan seterusnya di Seluruh England nanti."

Di pentas separuh akhir semalam, Zii Jia tewas 13-21, 12-21 di tangan juara remaja dunia pada 2017, 2018 dan 2019 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dalam tempoh 41 minit.

Kekalahan itu adalah yang ketiga Zii Jia kepada pemain berusia 21 tahun dan menduduki ranking ke-20 dunia itu sekali gus membolehkan kedua-duanya kini terikat dengan rekod kemenangan 3-3.

Zii Jia yang tampil beraksi dalam kejohanan pertama sejak bergelar pemain profesional selepas memutuskan untuk meninggalkan skuad kebangsaan, Januari lalu akan mengalihkan tumpuan untuk mempertahankan kejuaraan Seluruh England, mulai Selasa ini.

Di pusingan pertama yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, England nanti, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan keenam dijadual bertemu pemain Jepun, Kenta Nishimoto.

Berita Harian X