Jumaat, 11 March 2022 | 12:22pm
Izzuddin-Sze Fei akan menentang rakan senegara, Yew Sin-Ee Yi pada suku akhir Terbuka Jerman malam ini.
Izzuddin-Sze Fei akan menentang rakan senegara, Yew Sin-Ee Yi pada suku akhir Terbuka Jerman malam ini.

Izzuddin sedia benam rakan sendiri

KUALA LUMPUR: Dua beregu lelaki negara akan membuat perhitungan sesama sendiri di suku akhir Terbuka Jerman malam ini dengan pemain, Nur Izzuddin Rumsani bertekad untuk memberikan yang terbaik.

Izzuddin yang bergandingan bersama Goh Sze Fei dijadual bertemu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang juga pilihan keenam dengan rekod pertemuan antara mereka memihak kepada Yew Sin-Ee Yi, 2-0.

"Esok (hari ini) lawan Yew Sin-Ee Yi. Saya akan persiapkan mental dan fizikal dan lain itu, harap dipermudahkan," kata Izzuddin yang 'merahsiakan' strategi permainan mereka menjelang pertemuan itu nanti.

Pada aksi pusingan kedua semalam, Sze Fei-Izzuddin menewaskan pasangan Denmark, Joel Eipe-Daniel Lundgaard 21-13-21-14 dalam tempoh 32 minit manakala Yew Sin-Ee Yi menumpaskan Ben Lane-Sean Vendy (England) 21-15, 14-21, 21-17.

"Untuk perlawanan tadi (dengan Eipe-Lundgaard), kami bermula dengan baik. Kami cuba menyerang dan memberikan tekanan dari awal sehingga tamat perlawanan. Lawan juga banyak melakukan kesilapan mudah dan ia memudahkan lagi perancangan kami," kata Izzuddin.

Turut dijadual turun beraksi dalam saingan suku akhir hari ini adalah pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia yang akan bertemu pemain China, Zhao Jun Peng.

Beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula dijadual mengharungi perlawanan sukar apabila bertemu pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan manakala beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bertemu Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand), yang juga pilihan utama.

Berita Harian X