Isnin, 21 Februari 2022 | 5:20pm
Pemain perseorangan Lelaki, Lee Zii Jia meraikan kemenangan dengan membaling raket kepada penonton selepas menewaskan wakil Indonesia, Dwi Wardoyo Chico Aura pada aksi final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam semalam. Zii Jia menang 14-21,21-12,21-10. - Foto BERNAMA.
Pemain perseorangan Lelaki, Lee Zii Jia meraikan kemenangan dengan membaling raket kepada penonton selepas menewaskan wakil Indonesia, Dwi Wardoyo Chico Aura pada aksi final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam semalam. Zii Jia menang 14-21,21-12,21-10. - Foto BERNAMA.

Choong Han puji prestasi Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengharapkan yang terbaik buat pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia.

Zii Jia yang menjadi tonggak utama pasukan lelaki negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Shah Alam minggu lalu bakal menjalani 'perjalanan baharu' selepas membuat keputusan bergerak secara profesional dan bagi Choong Hann, pemain itu sudah menunjukkan satu prestasi yang baik.

"Kali ini dia bermain dengan stabil dan bagus," kata Choong Hann ketika mengulas mengenai Zii Jia selepas Malaysia muncul juara BATC buat kali pertama dengan menewaskan Indonesia 3-0 di Pusat Konvensyen Setia City, semalam.

Kemenangan itu secara tidak langsung menamatkan dominasi juara bertahan tiga kali berturut-turut Indonesia selepas menjuarainya bermula edisi pertama di Hyderabad, India 2016, Alor Setar 2018 dan Manila 2020.

Dalam aksi final semalam, Zii Jia menyumbang mata pertama pasukan lelaki negara dengan menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, 21-10.

Rentak kecemerlangan Zii Jia diteruskan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin apabila menang 17-21, 21-13, 21-18 untuk menyumbang mata kedua.

Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong memuktamadkan kemenangan pasukan dengan mengenepikan cabaran Ikhsan Rumbay 21-14, 21-15.

"Dia (Zii Jia) bermain tiga set tetapi itu satu keperluan dengan situasi kejohanan ketika itu. Apapun, dia berjaya menenangkan diri untuk mengatasi jangkaan, perubahan terkini dan juga kemahuan dirinya sendiri.

"Jadi itu sesuatu yang bagus untuk dia dan seluruh pasukan kerana dia sebahagian daripada ahli pasukan, kita memerlukan pasukan untuk menang.

"Jadi kita lakukannya secara bersama-sama untuk kejohanan ini. Selepas ini, dia akan berlatih sebagai seorang pemain profesional dan mempunyai hala tuju sendiri. Saya harapkan yang terbaik untuk semua pemain," kata Choong Hann.

Berita Harian X