Isnin, 14 Februari 2022 | 8:10pm
Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona ketika menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona ketika menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Peluang skuad wanita 'smash' Jepun

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara berpeluang membalas dendam kekalahan kepada Jepun apabila turun menentang lawan itu pada aksi pembukaan Kumpulan Y Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, esok.

Ini kerana Jepun yang menewaskan skuad negara di separuh akhir 2020 dan tampil sebagai juara bertahan, hanya membariskan pasukan kedua dalam kejohanan di Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam itu.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berharap pemain dapat memperagakan aksi sebenar, apatah lagi mereka mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Ini bukan pasukan terkuat kita dalam acara berpasukan wanita tetapi kita sedang berusaha keras untuk mempertingkatkan prestasi mereka.

"Jadi, kita harap mereka mampu melakar kejutan pada kejohanan kali ini bermula menentang Jepun esok," katanya.

Selain Malaysia dan Jepun, turut berada dalam Kumpulan Y adalah India manakala Kumpulan Z disertai Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Di sepanjang tiga edisi sejak 2016, pencapaian terbaik skuad wanita negara adalah layak ke separuh akhir 2020 di Filipina sebelum tewas di tangan Jepun 0-3.

Pada edisi 2018 di Alor Setar, Malaysia terkandas di suku akhir selepas tunduk kepada Korea Selatan 0-3, manakala edisi sulung di India 2016, perjalananan skuad negara turut terhenti di peringkat sama apabila tewas 0-3 kepada Thailand.

Jadual Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022

Esok

Lelaki

Kumpulan A

Indonesia mln Hong Kong, 4 ptg

India mln Korea Selatan, 4 ptg

Wanita

Kumpulan Y

Jepun mln Malaysia, 4 ptg

Kumpulan Z

Indonesia mln Hong Kong, 10 pagi

Korea Selatan vs Kazakhstan, 10 pagi

* Semua perlawanan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam

Berita Harian X