Jumaat, 4 Februari 2022 | 8:12pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong. - Foto ihsan Facebook BAM.
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong. - Foto ihsan Facebook BAM.

Tze Yong tak terkesan dengan ketiadaan Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menegaskan ketiadaan Lee Zii Jia yang memutuskan untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak memberi kesan besar kepada dirinya.

Selepas BAM memberi restu kepada Zii Jia untuk bergerak secara profesional, minggu lalu Tze Yong kini secara automatiknya mengambil alih kedudukan sebagai perseorangan nombor satu dalam kem skuad kebangsaan.

Ia berdasarkan ranking dunianya yang menyaksikan dia berada di kedudukan ke-47 - terbaik berbanding pemain perseorangan lelaki yang lain dalam BAM.

Bagi pemain berusia 21 tahun itu, dia tidak berasa tertekan dengan situasi terbaru berkenaannya sebaliknya akan terus mencabar diri untuk merealiasikan sasaran berada dalam kelompok 25 terbaik dunia pada hujung tahun ini.

"Saya pun tidak mahu fikir banyak mengenai perkara ini (ketiadaan Zii Jia dalam skuad kebangsaan), saya akan terus berlatih seperti biasa dan ikut arahan jurulatih," kata Tze Yong ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

"Saya akan memberi fokus dalam setiap kejohanan disertai dan cuba untuk mencapainya sasaran yang ditetapkan."

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan BAM (perseorangan), Wong Choong Hann menyuarakan keyakinan Tze Yong mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Zii Jia yang membuat keputusan untuk meninggalkan badan induk itu.

Katanya, situasi yang dialami Tze Yong ketika ini sama seperti yang dialami Zii Jia tiga tahun lalu dan percaya dia mampu menunjukkan peningkatan dalam tempoh seperti yang ditunjukkan juara Seluruh England 2021 berkenaan.

Tze Yong mengharungi musim cemerlang sepanjang tahun tahun dengan merangkul tiga kejohanan tahap rendah di Eropah dengan menjuarai Terbuka Poland, Cabaran Antarabangsa Terbuka Belgium dan Terbuka Scotland.

Pemain berasal dari Johor itu turut mempamerkan prestasi cemerlang ketika membarisi skuad negara menghadapi saingan dalam Piala Sudirman di Finland dan Piala Thomas di Denmark tahun lalu.

Dalam pada itu, Tze Yong mengakui dia perlu melipat gandakan usaha dalam persiapannya menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang bermula 15 Februari ini selepas dua minggu tidak turun ke gelanggang susulan dijangkiti COVID-19.

Pemain muda negara itu disahkan positif sebaik tiba di tanah air selepas menyertai kejohanan di India, bulan lalu.

"Saya baru saja kembali berlatih semalam dan memerlukan sedikit masa untuk kembali berada pada tahap terbaik. Justeru, saya akan bekerja keras untuk persiapkan diri termasuklah untuk turun berlatih pada cuti Sabtu dan Ahad," katanya yang akan menggalas tugas sebagai perseoranan kedua di belakang Zii Jia.

Berita Harian X