Selasa, 1 Februari 2022 | 3:31pm
Ong Yew Sin (kanan) kini menjadi gandingan baharu Goh Liu Ying badminton beregu campuran negara. - Foto BERNAMA.
Ong Yew Sin (kanan) kini menjadi gandingan baharu Goh Liu Ying badminton beregu campuran negara. - Foto BERNAMA.

Yew Sin gandingan baharu Liu Ying

KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai pasangan baharu pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying akhirnya terjawab apabila pemain beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin sah menjadi gandingannya.

Liu Ying membuat pengumuman berkenaan dalam sebuah video dimuat naik pada akaun Facebook bekas pemain beregu lelaki kebangsaan, Tan Boon Heong malam tadi.

"It's Ong Yew Sin lah," kata Liu Ying ketika ditanya Boon Heong siapakah pasangan baharunya dalam video berdurasi selama 19 minit itu.

Liu Ying sebelum ini berpisah dengan Chan Peng Soon, selepas 13 tahun bergandingan dengan pencapaian tertinggi merangkul pingat perak di temasya Olimpik Rio 2016.

Peng Soon pula terlebih dahulu membentuk gandingan bersama Valeree Siow bulan lepas dan sudah pun membuat kemunculan pertama di Terbuka India 2022, baru-baru ini.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Peng Soon-Valeree apabila cabaran mereka terkandas di peringkat suku akhir di tangan pilihan kedua kejohanan, Rodion Alimov-Alina Davletova dari Russia, 14-21, 13-21.

Walaupun bersama Liu Ying, Yew Sin yang mencuri tumpuan meraih gangsa beregu lelaki bersama Teo Ee Yi pada Kejuaraan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol, bulan lalu akan terus bergandingan bersama pasangannya itu dalam kategori berkenaan.

- BERNAMA

Berita Harian X