Ahad, 23 Januari 2022 | 5:36pm
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay (tengah) bersama atlet gimrama kebangsaan, Izzah Amzan (kanan) dan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann (kiri) menyertai Larian Bendera Wilayah Persekutuan dan Queen's Baton Sukan Komanwel 2022 di Perbadanan Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay (tengah) bersama atlet gimrama kebangsaan, Izzah Amzan (kanan) dan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann (kiri) menyertai Larian Bendera Wilayah Persekutuan dan Queen's Baton Sukan Komanwel 2022 di Perbadanan Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA.

Kemelut BAM-Zii Jia boleh jejas fokus skuad badminton negara

PUTRAJAYA: Kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia boleh menyebabkan fokus barisan pemain dalam kem badminton kebangsaan terjejas, kata Wong Choong Hann.

Pengarah Kejurulatihan BAM itu menegaskan beliau dan barisan kejurulatihan akan memastikan isu berkenaan tidak berlarutan sehingga menggugat prestasi pemain dengan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap proses pembinaan bakat.

Katanya, fokus barisan kejurulatihan selama ini tidak tertumpu kepada Zii Jia sahaja.

"Pemain mungkin akan rasa terganggu tetapi kita telah diberikan tanggungjawab untuk membina semua pemain dan sudah tentu selama Zii Jia dalam jagaan kita, beliau dijaga dengan sepenuh komitmen.

"Ini tidak bermaksud kita mengabaikan yang lain dan ini tidak menjadi masalah bahawa hanya sekarang kita akan mengalihkan tanggungjawab atau penelitian kita kepada pemain lain, kita teruskan kerja seperti biasa sahaja," katanya selepas menamatkan Larian Bendera Wilayah Persekutuan dan Queen's Baton Sukan Komanwel 2022 di sini hari ini.

Jumaat lalu, BAM memutuskan tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Jan berikutan keputusan juara All England 2021 itu untuk meninggalkan BAM bagi bergerak sebagai pemain bebas.

Sehingga kini, Zii Jia belum membuat sebarang kenyataan berhubung tindakan diambil BAM ke atasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai khabar angin bahawa Ng Tze Yong akan menggantikan Zii Jia sebagai pemain perseorangan lelaki utama, Choong Hann berkata pemain kelahiran Johor itu perlu diberikan lebih masa.

"Kita tak mahu memaksa untuk memastikan individu itu terus capai peringkat yang kita mahukan, sebab kita faham dia ada hala tuju, perjalanan dan jangka masa untuk dia meningkat. Jadi kita akan terus membina dan memberikan waktu yang setimpal untuk dia meningkatkan prestasi," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X