Khamis, 20 Januari 2022 | 6:18pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong. - Foto ihsan Facebook BAM.
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong. - Foto ihsan Facebook BAM.

Tze Yong mampu isi tempat Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemaian muda negara, Ng Tze Yong diyakini mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Lee Zii Jia yang membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pengarah Kejurulatihan BAM (perseorangan), Wong Choong Hann berkata situasi yang dialami Tze Yong ketika ini adalah menyamai apa yang dilakukan Zii Jia tiga tahun lalu.

"Kalau kita tengok kembali, Tze Yong ketika ini berada di ranking ke-47 dunia. Tiga tahun lalu Zii Jia juga berada di kedudukan ranking 40 lebih dan berjaya meraih satu kejuaraan di Terbuka Taiwan.

"Jadi, ia lebih kurang sama dengan situasi Tze Yong dari segi ranking dan tahap peningkatan prestasinya. Tahun 2019, daripada ranking 40 lebih, Zii Jia berjaya melonjak di kedudukan ke-13 dunia dalam tempoh 12 bulan selepas mara ke separuh akhir Seluruh England.

"Tze Yong meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 25 terbaik dunia tahun ini tetapi saya percaya dia boleh memasuki kelompok 20 terbaik dunia pada hujung tahun ini. Ia sama seperti yang saya katakan terhadap Zii Jia sebelum ini," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Tze Yong, 21, mengharungi musim cemerlang sepanjang tahun tahun dengan merangkul tiga kejohanan tahap rendah di Eropah dengan menjuarai Terbuka Poland, Cabaran Antarabangsa Terbuka Belgium dan Terbuka Scotland.

Pemain berasal dari Johor itu turut mempamerkan prestasi cemerlang ketika membarisi skuad negara menghadapi saingan dalam Piala Sudirman di Finland dan Piala Thomas di Denmark tahun lalu.

Mengulas lanjut, Choong Hann, berkata pihaknya sudah mempunyai perancangan kejohanan untuk Tze Yong dengan fokus utama adalah bagi memperbaiki kedudukan ranking dunianya sekali gus membolehkan dia beraksi dalam kejohanan lebih tinggi.

"Kita akan cuba senaraikan dia untuk sertai kejohanan paling tinggi. Sebab kita tak pasti kejohanan mana yang boleh dia sertai. Jika dia tidak layak, kita sudah ada perancangan kedua kerana memang banyak kejohanan lain yang boleh disertainya," katanya.

Berita Harian X