SEPANG: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei kempunan untuk menamatkan badi kejuaraan apabila tewas di pentas final Terbuka India di KD Jadhav Indoor Hall, New Delhi, sebentar tadi.
Tang Jie-Yen Wei tunduk 15-21, 18-21 di tangan beregu Singapura, Hee Yong Kai Terry-Tan Wei Han dalam tempoh 40 minit sekali gus merekodkan kekalahan pertama dalam pertemuan sulung antara kedua-dua beregu itu.
Gelaran terakhir Tang Jie-Yen Wei adalah di Kejohanan Antarabangsa Malaysia 2018 dan ketika itu mereka meraih kemenangan ke atas pasangan Indonesia, Andika Ramadiansyah-Mychelle Crhystine Bandaso 12-21, 23-21, 21-13.
Semalam, Tang Jie-Yen Wei yang berada di ranking ke-40 dunia mara ke final selepas mengejutkan rakan senegara yang juga beregu profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-19, 21-23, 21-14 dalam tempoh satu jam 11 minit.
Kemenangan ke atas beregu yang menduduki ranking ke-10 dunia dan pilihan utama itu jelas satu pencapaian membanggakan buat Tang Jie-Yen Wei yang sebelum ini pernah menduduki ranking ke-27 dunia pada 2018.
Untuk rekod, pada kempen musim lalu, pencapaian terbaik beregu ini adalah berada di suku akhir Terbuka Hylo yang berlangsung di Saarbrucken, Jerman padda November lalu.
Tang Jie-Yen Wei selepas ini dijadual menyertai Kejohanan Antarabangsa India yang dijadual berlangsung di Lucknow, India dari 18 hingga 23 Januari ini.