Sabtu, 15 Januari 2022 | 6:21pm
Aksi Tan Jie-Yen Wei ketika menewaskan Kian Meng-Pei Jing di Terbuka India, hari ini.
Aksi Tan Jie-Yen Wei ketika menewaskan Kian Meng-Pei Jing di Terbuka India, hari ini.

Tan Jie-Yen Wei kejutkan Kian Meng-Pei Jing

KUALA LUMPUR: Kehadiran Rexy Manaiky tampak mula membuahkan hasil apabila beregu campuran negara, Chen Tan Jie-Peck Yen Wei melakukan kejutan apabila mara ke final badminton Terbuka India, hari ini.

Pasangan yang menduduki ranking ke-40 dunia itu mengejutkan rakan senegara yang juga beregu profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-19, 21-23, 21-14 dalam saingan selama satu jam 11 minit.

Kemenangan ke atas beregu yang menduduki ranking ke-10 dunia dan pilihan utama itu jelas satu pencapaian membanggakan buat Tan Jie-Yen Wei yang sebelum ini pernah menduduki ranking ke-27 dunia pada 2018.

Malah, kejayaan itu mencerahkan peluang mereka memburu kejuaraan kedua selepas menjuarai Kejohanan Antarabangsa Malaysia pada 2018.

Mereka akan menentang pasangan Singapura, Hee Yong Kai Terry-Tan Wei Han yang melangkah ke final, esok tanpa bermandi peluh selepas lawan dari Russia yang juga pilihan kedua, Rodion Alimov-Alina Davletova terpalit kes COVID-19.

Alimov disahkan positif COVID-19 dalam satu ujian yang dibuat semalam manakala rakan gandingannya Davletova menjadi kontak rapat sekali gus memaksa mereka untuk menarik diri daripada kejohanan.

"Pemain itu menerima keputusan positif dalam satu ujian RT-PCR wajib yang dilakukan pada Jumaat. Rakan gandingannya dikenal pasti sebagai kontak rapat dan digugurkan daripada kejohanan.

"Lawan mereka, akan diberikan tempat ke final," kata Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan hari ini.

Apapun, kejayaan Tan Jie-Yen Wei membuktikan kehadiran semula Rexy yang juga juara dunia dan Olimpik sejak 1 Disember lalu sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan sebelum dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu susulan penstrukturan semula barisan kejurulatihan 28 Disember lalu, sudah mula membuahkan hasil.

Berita Harian X