Rabu, 12 Januari 2022 | 3:55pm
Peng Soon-Valaree menewaskan Raju Mohamed Rehan-Jamaludin Anees Kowsar 21-4, 21-9 pada pusingan pertama Terbuka India. - Foto FB BAM
Peng Soon-Valaree menewaskan Raju Mohamed Rehan-Jamaludin Anees Kowsar 21-4, 21-9 pada pusingan pertama Terbuka India. - Foto FB BAM

Peng Soon-Valaree lulus ujian pertama

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Valeree Siow meraih kemenangan pertama sebagai pasangan selepas melepasi pusingan pertama Terbuka India di New Delhi, hari ini.

Pasangan pilihan kelima kejohanan itu tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua apabila hanya memerlukan masa 20 minit bagi menewaskan gandingan India, Raju Mohamed Rehan-Jamaludin Anees Kowsar 21-4, 21-9.

Peng Soon menganggap perlawanan pusingan pertama berkenaan sebagai aksi pemanas badan terbaik buat mereka sebelum berdepan lawan yang lebih sukar.

"Kombinasi saya dengan Valeree hari ini baik tetapi kami belum jumpa dengan lawan yang lebih sukar lagi. Jadi, kita lihat nanti bagaimana dalam perlawanan seterusnya.

"Valeree pemain yang berpotensi dan menunjukkan sikap yang baik dalam gelanggang. Ini yang buatkan saya gembira bermain bersama dengan Valeree," katanya kepada BH Sukan.

Peng Soon-Valeree dijadual bertemu satu lagi pasangan India, Kashish Sharma-Saruni Sharma bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Valeree dipilih sebagai gandingan baharu Peng Soon selepas pemain senior itu mengumumkan berpisah dengan Liu Ying, bulan lalu selepas bergandingan selama 13 tahun.

Peng Soon seterusnya kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meneruskan cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024.

Berita Harian X