Isnin, 10 Januari 2022 | 6:54pm
Gambar fail - Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya.
Gambar fail - Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya.

Peluang Joo Ven uji juara dunia di Terbuka India

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven berpeluang menguji kekuatan dengan juara dunia yang baharu, Loh Kean Yew dari Singapura sekiranya kedua-dua pemain mara ke pusingan kedua Terbuka India di New Delhi yang bermula esok.

Pemain berusia 26 itu yang baru menandatangani kontrak bersama Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) akan membuka tirai saingan menentang pemain India, Shiraq Sen manakala Kean Yew yang mencipta sensasi muncul juara dunia di Sepanyol, bulan lalu akan bertemu Xiaodong Sheng dari Kanada.

Joo Ven yang ketika ini berada di kedudukan ranking ke-70 dunia dan di bawah bimbingan jurulatih dari Indonesia, Nova Armada, berkata dia sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan cabaran di New Delhi.

"Segala persiapan berjalan dengan baik dan saya harap dapat mempamerkan prestasi terbaik saya dalam kejohanan ini," katanya.

Dia yang muncul naib juara Terbuka Scotland tahun lalu mempunyai misi penting tahun ini yang turut diletakkan oleh KLRC iaitu berada dalam kelompok 35 terbaik dunia.

Selain Joo Ven, KLRC sebelum ini turut menandatangani kontrak dengan seorang lagi pemain iaitu bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei namun dia tidak beraksi di Terbuka India.

Sementara itu, pemain yang menumpaskan Joo Ven dalam perlawanan akhir Terbuka Scotland, Ng Tze Yong akan memulakan aksi pusingan pertama Terbuka India menentang pilihan ketujuh dari Indonesia, Tommy Sugiarto.

Sekiranya berjaya melepasi halangan Tommy di pusingan pertama, Tze Yong akan berdepan pilihan kedua kejohanan dari India, B Sai Praneeth.

Selain Joo Ven dan Tze Yong, turut beraksi di Terbuka India ialah seorang lagi pemain profesional, Cheam June Wei yang akan berdepan Sergey Sirant dari Russia.

Berita Harian X