Ahad, 9 Januari 2022 | 4:24pm
Tze Yong harungi musim cemerlang sepanjang tahun lalu.
Tze Yong harungi musim cemerlang sepanjang tahun lalu.

Tze Yong tekad gegar India

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong optimis mampu menghasilkan keputusan positif apabila membuat penampilan pertama dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 di Terbuka India di New Delhi bermula Selasa ini.

Pemain berusia 21 tahun itu yang mengharungi musim cemerlang sepanjang 2021 dengan merangkul beberapa gelaran dalam kejohanan tahap rendah di Eropah, berkata dia sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk berdepan lawan yang memiliki ranking lebih tinggi.

"Persiapan saya untuk menghadapi kejohanan kali ini sangat baik. Selepas pulang dari Eropah dan tamat tempoh kuarantin saya terus berlatih, tiada cuti," katanya yang menjuarai Terbuka Poland, Cabaran Antarabangsa Terbuka Belgium dan Terbuka Scotland tahun lalu.

Pemain berasal dari Johor itu turut mempamerkan prestasi cemerlang ketika membarisi skuad negara menghadapi saingan dalam Piala Sudirman di Finland dan Piala Thomas di Denmark tahun lalu.

Tze Yong yang kini menghuni ranking ke-60 dunia akan memulakan kempen di New Delhi menentang pemain berpengalaman dari Indonesia, Tommy Sugiarto di pusingan pertama.

Jika berjaya mara ke kelompok lapan terbaik, Tze Yong dijangka berdepan pilihan kedua kejohanan dari India, B Sai Praneeth.

"Kalau berdasarkan undian, memang agak sukar kerana ini adalah kejohanan bertaraf Super 500. Namun, itu bukanlah satu alasan untuk saya tidak mempamerkan prestasi terbaik, saya fikir ini adalah peluang untuk saya menilai tahap kemampuan saya berdepan lawan yang berada di ranking lebih tinggi.

"Sasaran saya adalah untuk cuba mara sehingga suku akhir tetapi seperti saya katakan ia bukan mudah kerana lawan saya di pusingan pertama pun adalah pemain yang berpengalaman. Jadi, saya akan cuba buat yang terbaik," katanya.

Selepas tamat Terbuka India, Tze Yong akan beraksi pula dalam saingan Antarabangsa India Syed Modi di Lucknow yang bermula 18 hingga 23 Januari.

Berita Harian X