Ahad, 9 Januari 2022 | 10:18am
Bapa jaguh tenis dunia Novak Djokovic, Srdjan Djokovic (dua kiri) dan ibu, Diana Djokovic (tengah kanan) turut menyertai bantahan di Belgrade, Serbia terhadap penahanan anak mereka di Melbourne susulan pembatalan visa memasuki Australia bagi menyertai tenis Terbuka Australia. - Foto EPA.

Peguam Djokovic kemuka rayuan pembatalan visa

MELBOURNE: Novak Djokovic diberikan pengecualian vaksin COVID-19 daripada Tennis Australia dan kerajaan Australia kerana dia sudah diuji positif pada Disember yang membolehkan dia masuk ke negara berkenaan, kata peguamnya semalam.

"Tarikh positif pertama ujian PCR dilaporkan pada 16 Disember 2021," kata pasukan peguamnya menerusi kenyataan 32 muka surat kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan rayuan membatalkan visa pemain Serbia itu.

Dalam satu lagi perkembangan, gambar dikongsi Persekutuan Tenis Belgrade menunjukkan Djokovic berada dalam majlis pemain muda di bandar berkenaan pada 17 Disember.

Persekutuan itu melaporkan dalam satu satu kenyataan bahawa Djokovic menyerahkan piala dan hadiah kepada pemain muda. Tiada siapa memakai pelitup muka.

Djokovic juga menghadiri satu lagi perjumpaan pada 16 Disember apabila perkhidmatan pos kebangsaan Serbia menganugerahkannya dengan stem sempena menghargai pencapaiannya dalam sukan.

Pada Sabtu, peguam berkenaan mendakwa ejen sempadan Australia menahan Djokovic selama lapan jam di lapangan terbang dekat sini sebelum membatalkan visanya serta menghantar pemain itu ke pusat tahanan.

- AFP

Berita Harian X