Sabtu, 8 Januari 2022 | 10:50am
Orang ramai mengadakan bantahan di pusat tahanan Imigresen yang menempatkan bintang tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic. - (Foto AFP)
Orang ramai mengadakan bantahan di pusat tahanan Imigresen yang menempatkan bintang tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic. - (Foto AFP)

Djokovic masih di pusat tahanan imigresen Melbourne

MELBOURNE: Novak Djokovic mengucapkan terima kasih di atas sokongan peminat dari seluruh dunia sejak insiden dia dilarang memasuki Australia kerana gagal membuktikan dirinya divaksin.

Bintang tenis nombor satu dunia dari Serbia berkata: "Terima kasih kepada semua orang di seluruh dunia di atas sokongan anda. Saya dapat merasainya dan ia amat dihargai."

Djokovic masih berada di pusat tahan imigresen di sini kerana menanti proses rayuan terhadap visanya yang dibatalkan.

Djokovic yang juga anti vaksin lantang mempertahankan haknya, ditahan minggu ini selepas tiba di Australia untuk menyertai Terbuka Australia, dalam usahanya memburu gelaran Grand Slam ke-21.

Visa kemasukan Djokovic dibatalkan selepas jaguh tenis itu gagal membuktikan status vaksinasi yang menjadi kriteria utama untuk masuk ke negara itu.

Pembatalan itu mencetus kemarahan warga Serbia dan sebahagian peminat tenis, serta golongan anti vaksin dan pejuang hak asasi imigran.

Djokovic kini ditempatkan di pusat tahanan yang dahulunya sebuah hotel, dan keluarganya mendakwa hotel berkenaan "kotor".

Bangunan lima tingkat itu menjadi perhatian tahun lalu apabila kebakaran memaksa pendatang yang ditahan dibawa keluar, dan ulat ditemui dalam makanan.

Warga asing masih dilarang masuk ke Australia, dan mereka yang mendapat visa perlu divaksin sepenuhnya atau mempunyai pengecualian kesihatan.

Djokovic sebelum ini menyatakan dia mendapat pengecualian berkenaan untuk bermain di Terbuka Australia, tetapi kerajaan Australia berkata dia tidak memenuhi standard lebih ketat kemasukan ke negara itu.

Pihak berkuasa Australia berkata pemain 34 tahun itu tidak menunjukkan bukti pengecualian dan visanya terpaksa dibatalkan.

- AFP

Berita Harian X