Khamis, 6 Januari 2022 | 5:08pm
Jin Wei buat pusingan U untuk kembali bersaing di peringkat kompetitif selepas umum persaraan September lalu.
Jin Wei buat pusingan U untuk kembali bersaing di peringkat kompetitif selepas umum persaraan September lalu.

Jin Wei pilih KLRC

KUALA LUMPUR: Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) menandatangani bekas pemain badminton perseorangan wanita kebangsaan, Goh Jin Wei yang membuat 'pusingan U' untuk kembali bersaing di peringkat kompetitif selepas mengumumkan persaraannya, September lalu.

Selain Jin Wei, KLRC turut mendapatkan khidmat bekas pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven.

Pengurus KLRC, Sairul Amar Ayob, berkata fokus utama kelab itu ketika ini adalah membantu kedua-dua pemain berkenaan untuk berada dalam kelompok 35 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini di bawah bimbingan jurulatih dari Indonesia, Nova Armada.

Ketika ini, Jin Wei yang juga bekas juara remaja dunia dua kali berada di kedudukan ranking ke-115 dunia manakala Joo Ven di tangga ke-70.

"Mungkin dalam sehari dua ini kami akan mengadakan sidang media rasmi mengenai pengenalan kedua-dua pemain ini dan dalam masa yang sama mencari penaja untuk menyokong perbelanjaan mereka berdua," kata Sairul yang juga bekas jurulatih kebangsaan.

Katanya, setakat ini KLRC hanya fokus kepada dua pemain berkenaan dan tidak berhasrat untuk menambah pemain lain kerana KLRC bukan bermatlamat sebagai 'badan kebajikan'.

"Kalau hendak menambah pemain pun kita akan melakukan penapisan rapi melihat kepada kualiti dan standard pemain itu sendiri. Kita akan menilai siapa yang boleh pergi jauh.

"Apa pun fokus utama adalah kepada dua pemain ini terlebih dulu di mana Joo Ven akan membuat penampilan pertama di Terbuka India (11-16 Januari) dan Kejohanan Antarabangsa Syed Modi (18-23 Januari).

"Jin Wei pula dijangka kembali ke gelanggang selepas keluar dari persaraan di Iran Februari depan," katanya yang juga pernah bernaung di bawah KLRC ketika masih aktif sebagai pemain.

Sairul berkata, pihaknya juga akan sentiasa bekerjasama dan bersikap terbuka jika kedua-dua pemain berkenaan diperlukan skuad negara untuk saingan Piala Thomas, Piala Sudirman, Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia demi kepentingan badminton Malaysia.

Isnin lalu, Jin Wei menyatakan hasratnya untuk kembali bersaing di peringkat kompetitif sebagai pemain profesional sekali gus menamatkan spekulasi dia akan kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Berita Harian X