Khamis, 6 Januari 2022 | 8:23am
Pemain Serbian Novak Djokovic bersama trofi Terbuka Australia selepas menewaskan pemain Russia Daniil Medvedev pada final di Melbourne Park tahun lalu. - Foto REUTERS
Pemain Serbian Novak Djokovic bersama trofi Terbuka Australia selepas menewaskan pemain Russia Daniil Medvedev pada final di Melbourne Park tahun lalu. - Foto REUTERS

Australia batal visa Djokovic

MELBOURNE: Australia berkata mereka membatalkan visa Novak Djokovic kerana tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara itu.

Pemain tenis nombor satu dunia dari Serbia itu sebelum ini berbangga kerana mendapat pengecualian kesihatan untuk beraksi di Terbuka Australia walaupun tidak mempunyai bukti sudah divaksinasi sepenuhnya bagi mencegah COVID-19.

Bagaimanapun tindakan Djokovic itu mencetus kemarahan warga Australia yang terpaksa mengharungi perintah berkurung dan pelbagai halangan sepanjang dua tahun lalu bagi mencegah penularan virus berkenaan.

Juara sembilan kali Terbuka Australia itu gagal melepasi kawalan sempadan ketat Australia.

"Djokovic gagal memberikan bukti diperlukan bagi kemasukan ke Australia, dan visanya terpaksa dibatalkan. Bukan warganegara yang tidak mempunyai visa kemasukan atau visa mereka dibatalkan akan ditahan dan dihantar pulang," kata Australian Border Force.

Pemain berkenaan di tahan semalaman di lapangan terbang dan dihantar pulang bersama pasukannya hari ini.

Media Australia melaporkan peguam Djokovic akan cuba menentang keputusan itu, manakala presiden Serbia Aleksandar Vucic menyelar layanan ke atas bintangnya itu.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison bagaimanapun menegaskan, polisi ketat di sempadan negaranya amat penting dalam memastikan kawalan terhadap penularan COVID-19.

"Peraturan tetap peraturan, terutama yang berkaitan dengan sempadan kami. Tidak ada sesiapa yang dapat mengatasi peraturan ini," kata Morrison.

April tahun lalu Djokovic menyuarakan pendapatnya berkenaan vaksin COVID-19: "Saya bukan pro-vaksin. Saya tidak suka seseorang memaksa saya divaksin supaya saya boleh mengembara." - AFP

Berita Harian X