Selasa, 4 Januari 2022 | 8:33pm
Gambar yang dirakamkan pada 21 Februari 2021 ketika Novak Djokovic meraikan kejayaan memenangi tenis Terbuka Australia selepas menewaskan pemain Russia, Daniil Medvedev pada aksi final perseorangan lelaki di Melbourne. - Foto AFP.
Gambar yang dirakamkan pada 21 Februari 2021 ketika Novak Djokovic meraikan kejayaan memenangi tenis Terbuka Australia selepas menewaskan pemain Russia, Daniil Medvedev pada aksi final perseorangan lelaki di Melbourne. - Foto AFP.

Djokovic sah pertahan kejuaraan Terbuka Australia

MELBOURNE: Pemain tennis nombor satu dunia, Novak Djokovic mengesahkan akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia selepas mendapat pengecualian kesihatan untuk beraksi.

Semua peserta saingan Terbuka Australia yang akan bermula 17 Januari ini perlu mendapat vaksin COVID-19 ataupun menerima pengecualian kesihatan yang disahkan panel bebas.

Pemain Serbia itu berulang kali enggan mengesahkan sudah menerima suntikan vaksin sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai penyertaannya pada kejohanan di Melbourne Park itu.

"Saya menghabiskan masa yang berkualiti dengan yang tersayang sepanjang cuti dan saya akan ke Australia dengan pengecualian yang diberikan. Ayuh 2022," kata pemenang Terbuka Australia sebanyak sembilan kali itu menerusi akaun Instagram miliknya.

Pengesahan Djokovic itu menyaksikan pertembungan boleh tercetus antara dia dan seteru tradisinya, Rafael Nadal yang masing-masing memburu rekod kejuaraan Grand Slam buat kali ke-21.

Bintang dari Sepanyol itu sudah pun berada di sini bagi melakukan persiapan selepas sembuh daripada coronavirus.

Djokovic sebelum ini menyatakan tentangan terhadap vaksin COVID-19 dengan bapanya, Srdjan pernah menyatakan anaknya mungkin tidak akan beraksi di sini selepas mendakwa penganjur 'mengugut' mereka.

Pegawai kerajaan di Victoria yang menjadi tuan rumah Terbuka Australia sejak beberapa bulan lalu tidak bertolak ansur apabila menyatakan hanya pemain divaksin dibenarkan menyertai pertandingan itu.

"Itu adalah peraturannya. Pengecualian kesihatan bukanlah alasan untuk pemain tennis," kata Timbalan Perdana Victoria, James Merlino pada bulan lalu.

- AFP

Berita Harian X