Selasa, 4 Januari 2022 | 6:10pm
Valeree Siow (kanan) dan gandingannya, Chan Peng Soon. - Foto ihsan Badmintonplanet.com
Valeree Siow (kanan) dan gandingannya, Chan Peng Soon. - Foto ihsan Badmintonplanet.com

Valeree akui dirinya bertuah

KUALA LUMPUR: Pemain muda, Valeree Siow menganggap dirinya bertuah apabila diberi peluang untuk berganding bersama pemain beregu campuran berpengalaman negara, Chan Peng Soon.

Pemain berusia 19 tahun itu berkata selepas beberapa hari menjalani latihan bersama Peng Soon yang digelarnya sebagai 'uncle', banyak perkara yang dipelajarinya bagi meningkatkan prestasi permainannya.

"Saya amat teruja dan beberapa hari ini saya banyak belajar dari 'uncle' (Peng Soon). Dia ajar dan tunjukkan saya di dalam gelanggang, jadi saya hanya ikut.

"Saya tidak mahu beri tekanan pada diri saya, tetapi berdasarkan apa yang uncle kata tidak terlalu teruk dan saya akan cuba yang terbaik.

"Saya harap dapat memperbaiki kelemahan saya dan bantu uncle di dalam gelanggang. Saya tidak mahu beri banyak masalah kepadanya," katanya yang turut akan beraksi dalam acara beregu wanita bersama pasangannya, Low Yeen Yuan.

Valeree dipilih sebagai gandingan baharu Peng Soon sejurus pemain senior itu mengumumkan berpisah dengan Goh Liu Ying, selepas bergandingan selama 13 tahun dengan pencapaian tertinggi mereka meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Peng Soon seterusnya kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meneruskan cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024. Ujian pertama buat gandingan itu adalah pada Terbuka India yang akan berlangsung bermula 11 hingga 16 Januari ini.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan akan membuka tirai saingan menentang pasangan tuan rumah, Raju Mohamed Rehan-Jamaludin Anees Kowsar di pusingan pertama.

"Saya sebenarnya masih belum melihat undian berkenaan kerana tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri. Namun, uncle beritahu undian boleh tahan dan saya akan cuba untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Valeree.

Berita Harian X