Isnin, 3 Januari 2022 | 9:10pm
Beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Valeree Siow. - Foto BERNAMA
Beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Valeree Siow. - Foto BERNAMA

Peng Soon, Valeree cari keserasian di Terbuka India

KUALA LUMPUR: Beregu campuran kebangsaan yang baru digandingkan, Chan Peng Soon dan Valeree Siow sedang mencari keserasian bagi penampilan pada Terbuka India di New Delhi bermula 11 hingga 16 Januari ini.

Peng Soon menerusi satu video daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata beliau tidak menetapkan sebarang sasaran bagi kejohanan sulung mereka sejak digandingkan baru-baru ini, namun akan berusaha sebaik mungkin bersama pasangannya.

"Semua okey, ada baik sikit. Belum biasa lagi sebab Valeree pemain yang sangat laju, jadi saya ikut sahaja. Dia masih muda dari beregu wanita tukar jadi beregu campuran, masih banyak skil beregu campuran yang kena belajar.

"Sebab itu minggu lepas, saya datang awal (untuk latihan) berpasangan dengannya jadi boleh tengok kombinasi kami. Kita sedang membuat persiapan dalam gelanggang, tetapi keputusannya tidak dapat dijangkakan," katanya.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata secara peribadi tiada masalah dalam menghadapi Terbuka India, tetapi berharap dapat bermain bersama pemain yang dikenalinya.

Sementara itu, Valeree, 19, yang sebelum ini bergandingan dengan Low Yeen Yuan dalam acara beregu wanita, berkata fokus beliau ketika ini adalah memastikan mendapatkan keserasian secepat mungkin bersama Peng Soon.

"Saya amat teruja dan beberapa hari ini saya banyak belajar dari 'uncle' (Peng Soon). Beliau ajar dan tunjukkan saya dalam gelanggang, jadi saya hanya mengikut. Saya tidak mahu beri tekanan pada diri saya, tetapi saya dengan apa yang uncle kata tidak terlalu teruk dan saya akan cuba yang terbaik," katanya.

Walaupun Valeree tidak pasti sama ada gandingan itu akan dikekalkan oleh BAM, tetapi beliau mahu terus berusaha dan memperbaiki kelemahan, supaya tidak mendatangkan masalah dalam gelanggang.

Pada 10 Disember lalu, Valeree dipilih sebagai gandingan baharu Peng Soon selepas pemain senior itu mengumumkan berpisah dengan Goh Liu Ying, selepas bergandingan selama 13 tahun dengan pencapaian tertinggi mereka meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Peng Soon seterusnya kembali ke pangkuan BAM untuk meneruskan cabaran di Olimpik Paris 2024.

- BERNAMA

Berita Harian X