Rabu, 22 Disember 2021 | 8:46pm
Perseorangan wanita DSBC Labuan, Arena Satu Samin. - Foto ihsan ShekhinahPR
Perseorangan wanita DSBC Labuan, Arena Satu Samin. - Foto ihsan ShekhinahPR

Seremban City BC terus cemerlang

PUTRAJAYA: Selepas membelasah DSBC Labuan 12-4 pada perlawanan semalam, Seremban City BC sekali lagi mencipta sensasi apabila membenam Bangi City BC 11-4 pada hari kedua saingan badminton Top Glove Purple League Pro-Am 2021, di sini, hari ini.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan mereka di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir.

Seremban City BC memulakan rentak kemenangan melalui beregu campuran, Ng Wan Win-Tan Kok Xian yang menundukkan gandingan Najmi Kamarudin-Siti Farhanah Nabilah 11-7, 11-4, 11-10.

Bangi City BC bagaimanapun enggan memberi laluan mudah apabila pemain perseorangan lelaki mereka, Ikmal Aizat menewaskan Gagan Jit Singh 11-6, 11-10, 9-11, dan 11-9.

Perseorangan wanita Seremban City BC, N Saranya menghadiahkan mata berharga buat pasukannya apabila bangkit dari ketinggalan sekali gus menewaskan lawannya Nurul Aisyah Ahmad dengan keputusan 10-11, 11-5, 11-6, 11-5.

Pasangan adik beradik, Muhd Amar Sani-Muhd Amir Sani kemudian meranapkan impian Bangi City BC hasil kemenangan 11-5, 11-9, 11-5.

Perlawanan terakhir kedua-dua pasukan pula dihentikan apabila gandingan beregu wanita Seremban City BC, Ng Qi Xuan-Nur Syaza Roshdi terpaksa menarik diri apabila Qi Xuan mengalami kecederaan pergelangan kaki pada set kedua.

Namun, ia tidak mengubah keputusan permainan apabila Seremban City BC jauh mendahului 11-4 selepas empat perlawanan.

Mengulas prestasi Seremban City BC, pengurus pasukan yang juga bekas pemain beregu kebangsaan, Zakry Abdul Latif bagaimanapun enggan mendabik dada selepas dua perlawanan.

"Kami belum lagi berdepan dengan lawan yang kuat seperti Serdang BC dan Butterworth BC. Kami akan melakukan pertukaran pemain untuk perlawanan esok bagi menentang Serdang BC memandangkan hari ini ada sedikit kekurangan kepada pasukan.

"Serdang BC adalah satu pasukan yang kuat dan saya harap pemain dapat mengekalkan prestasi yang sama untuk menewaskan mereka," katanya.

Turut mencuri tumpuan ialah perseorangan wanita pasukan DSBC Labuan, Arena Satu Samin yang konsisten menyumbang mata selepas tiga perlawanan.

Arena yang pernah mengungguli saingan Siri Antarabangsa Remaja Singapura 2019 bangkit untuk menewaskan lawannya dari Serdang BC, Teh Won Quin 11-4, 8-11, 11-3, 11-6.

"Walaupun agak keletihan, saya gembira dapat menghadiahkan mata buat pasukan. Saya ingin kekalkan momentum ini untuk perlawanan seterusnya sekaligus membantu pasukan meraih kemenangan," katanya.

Perlawanan pada sebelah pagi pula menyaksikan Rawang BC menang selesa ke atas Jinjang BC 15-8 manakala Ampang Jaya BC menerima tentangan sengit daripada Bandar Maharani BC apabila sekadar menang 12-10.

Saingan peringkat kumpulan diteruskan esok dengan Seremban City BC membuat perhitungan bersama Serdang BC selain perlawanan membabitkan Petaling Jaya BC dan Ampang Jaya BC.

Kejohanan Top Glove Purple League Pro-Am 2021 sedang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, di sini, dari 21 hingga 26 Disember.

Pertandingan berpasukan campuran ini diadakan mengikut format round robin dengan dua pasukan setiap kumpulan akan layak untuk beraksi di peringkat separuh akhir.

Berita Harian X