Selasa, 14 Disember 2021 | 6:52pm
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia. - Foto EPA.
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia. - Foto EPA.

Zii Jia waspada ancaman pemain Brazil

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tetap berwaspada dengan ancaman lawan dari Brazil, Ygor Coelho apabila kedua-dua pemain berkenaan membuat perhitungan dalam aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol, esok.

Terdahulu, Zii Jia, 23, yang diletakkan sebagai pilihan keenam mengesahkan tempat ke kelompok 32 terbaik selepas menewaskan pemain Kanada, Jason Anthony Ho-Shue 21-10, 17-21, 21-11 dalam aksi pusingan pertama, semalam.

Coelho pula mara selepas menyingkirkan pemain Belgium, Maxime Moreels 21-18, 21-9.

Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 berkata dia tidak berada pada tahap prestasi terbaik ketika aksi bertemu Anthony Ho-Shue dan perlu lebih bersedia terutama dari aspek mental apabila berdepan Coelho biarpun rekod pertemuan sebelum ini memihak kepada dirinya.

Pemain ranking nombor tujuh dunia itu menang ke atas Coelho ketika pusingan pertama Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland.

"Saya fikir ia adalah permulaan yang sukar untuk saya pada Kejohanan Dunia kali ini kerana saya tidak berada pada tahap terbaik. Jadi, saya perlu bermula semula.

"Saya perlu segera pulih dan berada pada tahap terbaik terutama apabila akan berdepan pemain Brazil (Coelho). Saya perlu buat persiapan dari aspek mental," katanya yang meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara sehingga suku akhir.

Sementara itu, Coelho, 25, yang berada di kedudukan ranking ke-50 dunia tekad untuk tidak memberi laluan mudah buat Zii Jia dalam perebutan tiket ke pusingan ketiga.

"Saya pernah bertemu Zii Jia di Basel dan dia bukan lawan yang mudah. Saya percaya ia akan menjadi perlawanan yang menarik.

"Saya mahu menikmati perlawanan dan buat yang terbaik bagi menghasilkan keputusan yang psoitif dalam perlawanan itu," katanya.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren yang meraih pingat gangsa pada edisi 2018 di Nanjing, China turut akan beraksi esok dalam aksi pusingan kedua dengan dia dijadual menentang HS Prannoy dari India.

Berita Harian X