Selasa, 7 Disember 2021 | 2:10pm
Peng Soon-Liu Ying berpisah selepas 13 tahun bergandingan.
Peng Soon-Liu Ying berpisah selepas 13 tahun bergandingan.

Saya belum gantung raket - Peng Soon

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran profesional, Chan Peng Soon memberitahu keputusan untuk berpisah dengan pasangannya, Goh Liu Ying selepas 13 tahun bersama bukanlah bermakna dia akan bersara.

Sebaliknya, pemain berusia 33 tahun itu menjelaskan mereka memutuskan untuk membawa haluan masing-masing dengan Peng Soon akan bergandingan dengan pasangan baharu.

"Saya dan Liu Ying ada sedikit perbezaan dari aspek perancangan. Saya mahu terus berjuang lagi di pentas antarabangsa manakala Liu Ying pula mungkin sebab sudah kepenatan dia mahu lebih rileks sedikit.

"Jadi, selepas mengadakan perbincangan, kami memutuskan saingan Jelajah Dunia Akhir BWF adalah kejohanan terakhir kami bersama.

"Mengenai pasangan baharu saya, buat masa ini belum boleh komen lagi namun saya fikir minggu ini atau minggu depan saya akan kongsikan perancangan seterusnya," kata Peng Soon kepada BH Sukan.

Semalam, Peng Soon mengumumkan perpisahannya dengan Liu Ying dan memaklumkan saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia yang berakhir, kelmarin adalah kejohanan terakhir mereka sebagai gandingan.

"Ia bukan keputusan yang mudah selepas apa yang kami harungi bersama. Kami gagal bersama, kami berjaya bersama.

"Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong sepanjang tempoh 13 tahun kami bersama. Akhir sekali, terima kasih kepada Liu Ying yang berjuang bersama saya dan memberikan kerjaya badminton yang bermakna buat saya," kata Peng Soon menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.

Aksi di Bali menyaksikan pasangan ranking nombor sembilan dunia itu berjaya mara sehingga separuh akhir sebelum tewas di tangan Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, Sabtu lalu.

Peng Soon-Liu Ying yang mula bergandingan pada 2009 berjaya meraih 12 gelaran juara di pentas antarabangsa termasuklah pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Sepanjang bersama, mereka pernah berada di kedudukan ranking nombor tiga dunia pada 2013 - terbaik dalam kerjaya mereka.

Liu Ying, 32, sebelum itu menerusi hantaran di Facebook miliknya memberitahu dia dan Peng Soon memohon maaf apabila terpaksa membuat keputusan menarik diri daripada aksi di Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol yang dijadual bermula 12 hingga 19 Disember ini.

Katanya, tahap kecergasan menjadi faktor utama membuatkan mereka mengambil keputusan sukar berkenaan selepas beraksi dalam enam kejohanan sejak Oktober lalu.

Berita Harian X