Sabtu, 4 Disember 2021 | 8:54pm
Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia. - Foto ihsan Facebook BAM.
Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia. - Foto ihsan Facebook BAM.

Impian Zii Jia ke final tidak kesampaian

KUALA LUMPUR: Hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mara ke final saingan Jelajah Dunia Akhir BWF tidak kesampaian apabila tunduk kepada pemain Thailand, Vitidsarn Kunlavut 18-21, 18-21 dalam aksi separuh akhir di Indonesia, sebentar tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Bali, Zii Jia tumpas dalam tempoh 44 minit sekali gus meletakkan rekod kemenangan antara mereka kini seimbang kepada 2-2.

Kali terakhir Zii Jia meraih kemenangan ke atas pemain di ranking ke-23 dunia itu adalah di Master Thailand 2017 manakala Terbuka Switzerland 2021 menyaksikan kekalahan pertamanya di tangan pemain Thailand itu.

Sebelum itu, dalam saingan beregu lelaki menyaksikan wakil negara, Ong Yee Sin-Teo Ee Yi turut terkandas apabila tewas di tangan wakil Jepun, Takiro Hoki-Yugo Kobayashi 18-21,15-21.

Kekalahan itu melebarkan rekod kemenangan pasangan Jepun itu kepada 3-1 sekali gus membalas kekecewaan mereka tewas di suku akhir Masters Thailand 2020.

Pasangan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut tewas di separuh akhir 8-21, 18-21 di tangan beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Berita Harian X