KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF dengan penuh bergaya apabila muncul juara Kumpulan B.
Pilihan kedua kejohanan itu mengakhiri saingan kumpulan dengan kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan pemain India, K Srikanth 21-19, 21-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Indonesia, sebentar tadi.
Dalam dua perlawanan awal kumpulan sebelum ini, Zii Jia turut menang ke atas pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn dan Toma Junior Popov dari Perancis.
Kejayaan itu sekali gus memperbaiki pencapaiannya dalam penampilan pertama pada edisi 2020 yang menyaksikan dia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan apabila tewas semua tiga perlawanan.
Undian separuh akhir dijadual berlangsung selepas tamat semua perlawanan peringkat kumpulan malam ini.