Selasa, 23 November 2021 | 7:55pm
Aksi Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menentang beregu Denmark, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel pada pusingan pertama Terbuka Indonesia di Bali, petang tadi. - Foto ihsan Facebook BAM.
Aksi Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menentang beregu Denmark, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel pada pusingan pertama Terbuka Indonesia di Bali, petang tadi. - Foto ihsan Facebook BAM.

Aaron-Wooi Yik kini nombor enam dunia

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melonjak satu anak tangga ke kedudukan nombor enam dunia menerusi kemas kini terbaru ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Kedudukan itu adalah yang terbaik dalam kerjaya mereka sejak digandingkan pada 2017.

Lebih manis, Aaron-Wooi Yik meraikan pencapaian itu dengan kejayaan mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia di Bali selepas menewaskan pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 25-23, 21-12, petang tadi.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan berdepan rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bagi perebutan tiket ke suku akhir, Rabu ini.

Terdahulu, Ee Yi-Yew Sin mara selepas menewaskan rakan senegara, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong 21-11, 21-11 dalam aksi pusingan pertama.

Kemenangan itu meletakkan pasangan profesional negara itu secara tidak rasminya sudah mengesahkan tiket ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF, bulan depan apabila kedudukan dalam kelompok lapan terbaik ranking kejohanan akhir musim itu kini sudah terjamin.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei turut mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia apabila menundukkan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo 19-21, 21-18, 21-15.

Berita Harian X