Rabu, 4 Ogos 2021 | 7:56am
Greysia Polii (kiri) dan Apriyani Rahayu dari Indonesia ketika majlis penyampaian pingat selepas menang acara beregu badminton wanita Tokyo 2020 di Musashino Forest Sports Plaza, Chofu, Tokyo. - EPA
Greysia Polii (kiri) dan Apriyani Rahayu dari Indonesia ketika majlis penyampaian pingat selepas menang acara beregu badminton wanita Tokyo 2020 di Musashino Forest Sports Plaza, Chofu, Tokyo. - EPA

OLIMPIK: Hadiah lembu, restoran untuk Greysia-Apriyani

JAKARTA: Lima ekor lembu, restoran bebola daging dan sebuah rumah baharu.

Itu antara sebahagian hadiah dijanjikan buat pemenang pingat emas Olimpik dalam acara badminton dari Indonesia, Greysia Polii dan Apriyani Rahayu apabila mereka pulang dari Tokyo.

Negara terbesar di Asia Tenggara itu amat meminati badminton dan sukan berkenaan sudah menghasilkan semua pingat emas sejak tampil di Olimpik pada 1992.

Pasangan wanita, Greysia dan Apriyani menewaskan wakil China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan 21-19, 21-15 yang memberikan Indonesia pingat emas pertama di temasya Tokyo.

Kerajaan negara itu sebelum ini menjanjikan wang tunai 5 bilion rupiah (RM1.47 juta) dan sejak itu mereka menerima lebih banyak hadiah.

Ketua daerah di bandar kelahiran Apriyani dekat Kepulauan Sulawesi menjanjikan lima ekor lembu dan sebuah rumah manakala rantaian restoran bebola daging berjanji untuk memberikan pasangan itu masing-masing sebuah premis.

Menerusi mesej di Twitter, Presiden Joko Widodo berkata kejayaan pasangan berkenaan yang "mencabar dan hebat" adalah hadiah menjelang Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos.

Imelda Wigoeno, bekas pemain dan pegawai di kelab pasangan berkenaan, berkata: "Kejayaan dicipta (Greysia dan Apriyani) akan membawa lebih banyak perhatian terhadap sukan dalam kalangan wanita."

Greysia, 33, berkata kepada laman sesawangn Persekutuan Badminton Dunia: "Saya dilahirkan untuk menjadi pemain badminton. Dan saya ada rasa percaya apabila berusia hanya 13 tahun yang saya mahu mencipta sejarah buat Indonesia." - AGENSI

Berita Harian X