Rabu, 28 Julai 2021 | 4:41pm
Aksi Aaron-Wooi Yik ketika menentang beregu Kanada, Nyl Kiyoshi Yakura-Jason Anthony semalam. - BERNAMA
Aksi Aaron-Wooi Yik ketika menentang beregu Kanada, Nyl Kiyoshi Yakura-Jason Anthony semalam. - BERNAMA

OLIMPIK: Aaron-Wooi Yik mahu pecah rekod 0-7

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bertekad memperaga aksi lima bintang pada pertemuan menentang lawan sukar dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo pada suku akhir Tokyo 2020, esok.

Berdasarkan rekod pertemuan, ini adalah pertemuan kelapan kedua-dua pasangan itu dengan gandingan Indonesia memenangi kesemua pertembungan sebelum ini.

Kali terakhir gandingan Indonesia itu meraih kemenangan ke atas Aaron-Wooi Yik adalah di pentas suku akhir Terbuka England 2020, menyaksikan beregu negara tewas 17-21, 19-21.

Tentunya, pertemuan di Musashino Forest Sport Plaza bakal digunakan sebaiknya gandingan negara di ranking kesembilan dunia itu dalam usaha 'merobohkan ego' pasangan ranking nombor satu dunia dari Indonesia berkenaan.

"Bagi saya suku akhir, siapapun lawan pun sama saja.

"Mana-manapun lawan, kita akan berikan yang terbaik dan tempoh masa latihan yang ada ini akan digunakan sebaiknya untuk membincangkan strategi bersama-sama jurulatih," kata Aaron.

Semalam, Aaron-Wooi Yik menutup tirai peringkat Kumpulan D dengan muncul naib juara di belakang juara kumpulan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Pada perlawanan terakhir kumpulan, Aaron-Wooi Yik menewaskan pasangan Kanada, Jason Ho Shue-Nyl Yakura 21-15, 21-13 selepas tewas 16-21, 19-21 di tangan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam aksi kedua sebelum itu.

Aaron-Wooi Yik membuka tirai peringkat kumpulan dengan meraih kemenangan ke atas beregu Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae 24-22, 21-15.

"Untuk perlawanan semalam (menentang Ho Shue-Yakura), boleh dikatakan tidak mempunyai tekanan yang besar sangat tapi kita menganggap setiap perlawanan itu sama saja... perlu memberikan yang terbaik.

"Secara keseluruhannya kami berpuashati dengan prestasi ditunjukkan sepanjang saingan peringkat kumpulan," katanya.

Berita Harian X