Isnin, 26 Julai 2021 | 11:55am
Aksi Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menewaskan pasangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae kelmarin. - Foto AFP
Aksi Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menewaskan pasangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae kelmarin. - Foto AFP

OLIMPIK: Misi tumbangkan juara dunia

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele percaya tiada apa yang mustahil buat anak buahnya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menumbangkan juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan menjelang aksi kedua Kumpulan D Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Aksi berdepan pasangan Indonesia itu cukup penting buat Aaron-Wooi Yik yang mana kemenangan akan menyaksikan mereka mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati lebih awal berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan.

Kelmarin, pasangan negara itu membuka langkah dalam penampilan sulung di pentas Olimpik dengan kemenangan ke atas pasangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae.

Flandy yang berasal dari Indonesia, percaya anak buahnya yang menduduki ranking nombor sembilan dunia itu akan berjuang bermati-matian bagi mencatat kemenangan ke atas beregu nombor dua dunia, Ahsan-Hendra.

"Mereka bermain dengan baik dan mengikut strategi permainan yang dirancang dalam perlawanan pertama (menentang beregu Korea). Masih ada beberapa kesilapan mudah yang dilakukan tetapi mujur semuanya berjalan lancar.

"Persiapan bagi bertemu Ahsan-Hendra pula lebih kepada untuk mereka cuba mengurangkan kesilapan mudah. Selebihnya, saya percaya mereka akan bermain habis-habisan untuk meraih kemenangan," katanya kepada BH Sukan.

Berbanding Aaron-Wooi Yik yang baru kali pertama beraksi di Olimpik, Ahsan-Hendra nyata lebih berpengalaman yang mana aksi di Tokyo adalah penampilan ketiga mereka.

Hendra juga memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Beijing 2008 bersama pasangannya ketika itu, Markis Kido.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik hanya menang sekali ke atas Ahsan-Hendra yang muncul juara dunia sebanyak tiga kali pada 2013, 2015 dan 2019 dalam lapan pertemuan sebelum ini.

Paling mengecewakan sudah pastinya ketika mereka tewas di tangan pasangan berpengalaman Indonesia itu pada final Seluruh England 2019.

"Saya dan Wooi Yik memang kami akan berjuang habis-habisan tidak kira lawan sesiapa pun. Kami akan tunjukkan permainan terbaik kami dan kita lihat nanti keputusannya," kata Aaron.

Berita Harian X