Jumaat, 23 Julai 2021 | 5:30pm
Lee Meng Yean, Soniia Cheah dan Chow Mei Kuan bergambar kenangan bersama Olympic rings di perkampungan atlet.
Lee Meng Yean, Soniia Cheah dan Chow Mei Kuan bergambar kenangan bersama Olympic rings di perkampungan atlet.

OLIMPIK: BAM sudah buat terbaik untuk pemain

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya badan induk itu sudah melakukan yang terbaik bagi mempersiapkan pemain negara menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan hari ini berkata, BAM sudah melakukan pelbagai perancangan bagi mempersiapkan pemain menghadapi temasya terbesar dunia itu termasuklah menjalani kem latihan di Ehime namun tergendala disebabkan pandemik COVID-19.

Katanya, susulan itu, pihaknya mengambil tindakan drastik dengan menghimpunkan semua pemain termasuk pemain muda untuk menjalani latihan di bawah satu bumbung menggunakan konsep gelembung sukan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

"Ini merupakan detik yang tidak dapat dijangka, kali terakhir kita dilanda wabak ialah 100 tahun lalu. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya mengganggu persiapan pemain khususnya untuk bertanding di luar negara.

"Saya percaya, masa sukar yang dilalui setiap pemain akan menguatkan fizikal dan mental mereka untuk menghadapi saingan di Tokyo.

"Kami tidak membezakan pemain BAM dan pemain bebas kerana kita adalah Malaysia. Mereka bekerja keras dalam keadaan yang sangat sukar. Saya begitu terharu dengan semangat dan komitmen mereka," katanya.

Dalam pada itu, Norza berpuas hati dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Katanya, apa jua keputusan yang dihasilkan di Tokyo, BAM sudah bersedia dengan perancangan Projek 2024 dan Program Junior Elit bagi menghasilkan pemain berkualiti.

"Kami sudah mendedahkan Zii Jia di pentas utama termasuk mengetuai cabaran di Piala Thomas.

"Dia agak bergelut di Thailand tetapi saya percaya ia memberikan keyakinan kepadanya dan membolehkannya menjadi juara Seluruh England," katanya.

Skuad badminton negara akan memulakan saingan peringkat kumpulan di Tokyo, esok membabitkan Aaron-Wooi Yik; beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Aaron-Wooi Yik yang muncul naib juara Seluruh England 2019 akan bertemu pasangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae dalam saingan Kumpulan D manakala Peng Soon-Liu Ying yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 menentang Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong di Musashino Forest Sport Plaza, esok.

Mei Kuan-Meng Yean berdepan tugas mencabar apabila bertemu beregu nombor enam dunia dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu untuk aksi Kumpulan C.

Pada Olimpik Rio 2016, skuad badminton negara cemerlang apabila membawa pulang tiga pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Peng Soon-Liu Ying - pencapaian terbaik sejak badminton dipertandingkan di Olimpik pada 1992 di Barcelona.

Berita Harian X