Sabtu, 10 Julai 2021 | 10:38pm
Soniia berjanji beri aksi terbaik di Tokyo.
Soniia berjanji beri aksi terbaik di Tokyo.

Soniia janji berjuang habis-habisan di Tokyo

KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan wanita negara Soniia Cheah akan berjuang habis-habisan pada penampilan sulungnya di Olimpik Tokyo, Jepun dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Pemain bukan pilihan itu berkata, beliau amat gembira dengan penampilannya pada acara sukan terbesar dunia itu, walaupun akan berhadapan perlawanan sukar di gelanggang di Musahino Forest Sports Plaza.

Pemain ke-35 dunia itu bagaimanapun merasakan, beliau mempunyai peluang yang baik pada aksinya di Tokyo itu.

"Ia satu cabaran baharu, dan bukan sahaja saya, tetapi setiap pemain juga mempunyai peluang yang sama di Olimpik Tokyo. Saya cuma berharap akan dapat memberikan prestasi terbaik dalam karier saya di sana," katanya dalam video dimuat naik pada Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Cheah diundi dalam Kumpulan N bersama pemain pilihan kelima dari Thailand Ratchanok Intanon dan Laura Sarosi dari Hungary, berdasarkan kepada undian kumpulan Olimpik Tokyo oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang diadakan pada Khamis, lalu.

Pemain berusia 28 tahun itu juga berkata, yang beliau perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk Olimpik Tokyo dan tidak akan membenarkan faktor luaran seperti pengumuman darurat di Tokyo disebabkan COVID-19, akan menjejaskan fokusnya.

Sementara itu pemain beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, tidak mahu meletakkan sebarang tekanan pada diri mereka dan berjanji untuk memberikan persembahan cemerlang di Olimpik Tokyo.

Pasangan nombor 11 dunia itu diundi dalam Kumpulan A bersama pasangan pilihan pertama Sayaka Hirota-Yuki Fukushima dari Jepun, Apriyani Rahayu-Greys Polii (Indonesia) dan Chloe Birch-Lauren Smith (Great Britain).

Berkenaan undian itu, Meng Yean bersedia untuk menang terhadap Apriyani-Greysia dan Chloe-Lauran bagi mendapat peluang baik layak ke peringkat suku akhir dan akan berikan yang terbaik ketika bertemu pasangan pilihan Sayaka-Yuki.

Rekod pertemuan antara Mei Kuang-Meng Yean bertemu pasangan Indonesia itu terikat 2-2 manakala pasangan negara itu tewas ketika bertemu pasangan Great Britain itu yang mengalahkan mereka 15-21, 21-14, 21-19, di separuh akhir Barcelona Spain Masters 2020.

Bagaimanapun, rekod Mei Kuan-Meng Yean bertemu Sayaka-Yuki merupakan satu mimpi ngeri apabila mereka tidak pernah menang sekali pun dalam enam pertemuan mereka sebelum ini.

Pada masa yang sama, Mei Kuan berkata mereka juga akan menggunakan penampilan lebih berhati-hati dan belajar untuk lebih bersabar, pada sesi latihan mereka. - BERNAMA

Berita Harian X