Khamis, 25 Februari 2021 | 9:29pm
 Aksi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad.
Aksi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad.

Aaron-Wooi Yik waspada cabaran di Basel

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap berwaspada biarpun dilihat mempunyai peluang tinggi bagi meraih kejuaraan antarabangsa pertama mereka apabila beraksi pada saingan Terbuka Switzerland bermula 2 hingga 7 Mac ini.

Tampil sebagai pilihan pertama, kejohanan berstatus Super 300 itu dilihat peluang terbaik buat Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian kejuaraan sejak mereka digandingkan pada 2017.

Pasangan nombor sembilan dunia itu akan membuka tirai kempen di Basel menentang beregu New Zealand, Oliver Leydon Davis-Abhinav Manota.

"Bagi orang lain mungkin nampak undian kami mudah tetapi apabila bermain sebenarnya bukan mudah. Lagi pun, dalam laluan kami (untuk ke final) ada Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu profesional negara) selain Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov.

"Apa pun, kami sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan ini apatah lagi ia menawarkan mata kelayakan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo. Selepas pulang dari Thailand, kami buat persiapan semula dan perbaiki segela kelemahan kami," kata Aaron.

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa dengan pencapaian terbaik adalah enam kali mara ke final termasuk ketika muncul naib juara Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand, bulan lalu.

Bagaimanapun, pasangan itu berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Aaron, berkata dia dan Wooi Yik kali ini tidak akan menyertai saingan Seluruh England yang dijadual berlangsung di Birmingham pada 17 hingga 21 Mac ini.

"Seluruh England tidak menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik selain situasi yang masih tidak menentu di sana membuatkan kami sedikit bimbang. Jadi, kami putuskan untuk tarik diri daripada kejohanan itu.

"Kami akan lebih banyak fokus terhadap kejohanan yang ada mata kelayakan ke Sukan Olimpik," katanya.

Berita Harian X