Jumaat, 29 Januari 2021 | 11:14am
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto ihsan Twitter BAM
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto ihsan Twitter BAM

Misi Aaron-Wooi Yik tumbangkan juara dunia

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu tampil dengan semangat juang yang lebih tinggi sekiranya mahu menumbangkan juara dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dalam aksi Kumpulan B Jelajah Dunia Akhir BWF, hari ini.

Pertembungan itu dianggap misi 'hidup mati' buat kedua-dua pasangan berkenaan yang perlu menang bagi memburu tiket ke separuh akhir.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik yang melakar kemenangan pada aksi pertama, kelmarin gagal meneruskan momentum itu apabila tewas di tangan beregu Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sonozov 19-21, 16-21 dalam perlawanan kedua, semalam.

Skrip sama turut dialami Ahsan-Hendra apabila mereka yang menang perlawanan pertama tewas aksi kedua kumpulan di tangan pasangan Korea Selatam, Choi Solgyu-Seo Seung Jae 19-21, 16-21.

Justeru, kedua-dua pasagan tidak mempunyai pilihan selain menang aksi terakhir kumpulan bagi mara ke kelompok empat terbaik. Hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke separuh akhir.

Atas kertas Ahsan-Hendra tampak mempunyai kelebihan apabila menang lima daripada enam pertemuan dengan Aaron-Wooi Yik sebelum ini.

"Kalau lihat perlawanan hari ini (semalam), Aaron-Wooi Yik kurang berani dan ragu-ragu. Mereka tidak sabar dan banyak melakukan kesilapan.

"Jadi, mereka perlu lebih bijak dalam perlawanan esok (hari ini) menentang Ahsan-Hendra. Semoga mereka berada dalam keadaan fizikal yang terbaik dan menunjukkan semangat juang yang tinggi," kata ketua jurulatih beregu negara, Flandy Limpele.

Sementara itu, Aaron enggan terlalu memikirkan mengenai peluang untuk melakar kemenangan ke atas lawan yang berada di ranking nombor sembilan dunia itu sebaliknya mahu lebih fokus bagi mempersiapkan mental dan fizikal menghadapi perlawanan yang dijangka sengit itu.

"Kalau mahu mara ke separuh akhir memang perlu menang. Namun, kami hanya mahu fikir macam mana cara kami mahu bermain, tidak mahu terlalu fikir soal menang atau kalah.

"Yang penting kami perlu tampilkan prestasi terbaik kami terlebih dahulu," kata Aaron.

Dalam pada itu, pasangan profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menghidupkan kembali peluang untuk mara kelompok empat terbaik melakar kemenangan dalam perlawanan kedua kumpulan, semalam.

Mereka yang tewas di tangan pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin dalam aksi pertama kembali bangkit apabila menundukkan beregu England, Marcus Ellis-Chris Langride 21-19, 21-18.

Bagi layak ke separuh akhir, Ee Yi-Yew Sin perlu menang ke atas satu lagi pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy pada aksi terakhir kumpulan hari ini.

Keputusan :

*hanya babit wakil Malaysia

Beregu lelaki -

Kumpulan A

Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (MAS) mn Marcus Ellis-Chris Langride (ENG) 21-19, 21-18

Kumpulan B

Vladimir Ivanov-Ivan Sonozov (RUS) mn Aaron Chia-Soh Wooi Yik (MAS) 21-19, 21-16

Beregu wanita -

Kumpulan A

Lee So Hee-Shin Seung Chan (KOR) mn Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (MAS) 21-15, 21-17

Greysia Polii-Apriyani Rahayu (INA) mn Vivian Hoo-Yap Cheng Wen (MAS) 21-17, 21-7

Berita Harian X