Isnin, 25 Januari 2021 | 9:19pm
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto ihsan BWF Tour
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto ihsan BWF Tour

Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu lebih yakin

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele menegaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu lebih yakin sekiranya mahu menghasilkan keputusan positif pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok yang akan bermula, Rabu ini

Katanya, selepas tamat dua kejohanan siri Terbuka Thailand, pasangan nombor sembilan dunia itu masih bergelut dengan prestasi tidak menentu.

"Selepas dua kejohanan ini, mental dan prestasi mereka masih belum stabil. Mereka lambat untuk menyesuaikan diri kerana sudah lama tidak beraksi dalam kejohanan.

"Jadi, untuk saingan Jelajah Dunia Akhir ini, mereka harus bermain dengan lebih yakin, tunjukkan semangat juang yang tinggi dan mampu mengawal tekanan daripada pihak lawan. Saya harap mereka boleh tampil lebih konsisten selepas ini," kata Flandy.

Semalam, Aaron-Wooi Yik terlepas peluang bagi menamatkan penantian muncul juara dalam kejohanan antarabangsa apabila tewas di tangan beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 13-21, 18-21 pada aksi final Terbuka Thailand Toyota.

"Mereka tidak bermain pada tahap prestasi yang sebenar dalam perlawanan itu. Mereka kurang percaya pada diri sendiri, ini yang perlu diatasi," kata Flandy.

Aaron-Wooi Yik tersingkir di pusingan pertama saingan Terbuka Thailand Yonex, minggu lalu.

Pasangan negara itu berpeluang untuk menebus kegagalan menamatkan kemarau kejuaraan yang dialami mereka apabila layak beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.06 juta).

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah lima kali mara ke final termasuk ketika muncul naib juara Seluruh England 2019.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Berita Harian X