Rabu, 13 Januari 2021 | 10:14pm
Gambar fail - Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia dalam satu kejohanan sebelum ini.
Gambar fail - Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia dalam satu kejohanan sebelum ini.

Zii Jia cemas sebelum menang, Kisona tersingkir

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kedua saingan Terbuka Thailand Yonex, di Bangkok, sebentar tadi.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu yang berdepan pemain India, HS Prannoy cemas seketika apabila tewas 13-21 pada set pertama sebelum kembali bangkit untuk menang dua set berikutnya 21-14, 21-8 dalam aksi pusingan pertama.

Dia yang tampil sebagai pilihan kelapan akan berdepan seorang lagi pemain India, K Srikanth esok, bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, S Kisona yang menjadi mangsa keadaan terpaksa akur apabila tewas di tangan bekas pemain nombor satu dunia dari India, Saina Nehwal 15-21, 15-21.

Kisona sepatutnya sudah pun melangkah ke pusingan kedua apabila diberikan kemenangan percuma semalam selepas Saina terpaksa menarik diri kerana pada awalnya diuji positif COVID-19.

Bagaimanapun, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjadualkan semula aksi berkenaan hari ini selepas Saina disahkan boleh bermain susulan ujian lanjut yang dijalankan mendapati pemenang pingat gangsa Olimpik London 2012 itu bebas daripada jangkitan wabak berkenaan.

Berita Harian X